Kembali semula populariti Pantai Cahaya Bulan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berusaha mengembalikan populariti Pantai Cahaya Bulan (PCB) sebagai satu destinasi pelancongan utama di Kelantan seperti suatu ketika dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, tarikan pelancongan di PCB semakin suram dan memerlukan penambahbaikan.

“Kita berharap kewujudan gerai hijau akan menjadi salah satu tarikan pelancong melalui konsep bersih, indah dan ceria yang diterapkan,” katanya selepas majlis menyerahan gerai hijau kepada penjaja kecil di Kedai Buluh dekat sini hari ini.

- Advertisement -

Seramai lapan peniaga di Dun Kijang menerima gerai jualan berwarna hijau, di mana setiap satu bernilai RM500.

Dr Izani yang juga Adun Kijang berkata, gerai jualan pelbagai jenis berbentuk makanan itu dibina melibatkan kos keseluruhan RM40,000 termasuk kerja-kerja meratakan tapak kios tersebut.

Menurutnya juga gerai berkenaan bukan sahaja memberi keselesaan kepada peniaga kecil sebaliknya dapat mengindahkan kawasan.

“Ini juga antara usaha bagi membantu peniaga kecil meningkatkan sosio ekonomi mereka. Sehingga kini terdapat 28 gerai hijau di Dun Kijang dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Ditanya adakah konsep gerai hijau diperluas ke jajahan lain, katanya ia bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -