Kelantan teliti hasrat laksana Bazar Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sedang meneliti semula pelaksanaan Bazar Ramadan bersama seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) susulan peningkatan kes Covid-19 di Kelantan kebelakangan ini.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan PBT terbabit supaya menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih belum mengeluarkan sebarang arahan dan SOP berhubung pelaksanaan Bazar Ramadan yang dijangka bermula 13 April ini.

“Insya-Allah dalam mesyuarat akan datang ini kita akan putuskan kita punya SOP untuk pelaksanaan Bazar Ramadan ini sebab MKN belum lagi membuat ketetapan itu.

“Permohonan berniaga masih terbuka cuma berkaitan SOP dari segi bilangan gerai dibenarkan, jarak antara gerai dan lain-lain berkaitan SOP itu sedang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Kelantan yang diadakan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JPNK), Dato’ Dr Zaini Hussin dan Timbalan Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan, SAC Abdullah Muhammad Piah.

Dalam pada itu, hanya 500 orang sahaja dibenarkan bagi menghadiri Madinah Ramadan tahun ini berbanding jumlah dahulu yang mampu mencecah sehingga 1,300 orang dalam satu-satu masa.

Izani Husin berkata, kerajaan negeri melaksanakan langkah itu dengan pematuhan SOP yang ketat bagi menyekat penularan Covid-19.

Malah beliau menjangkakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan membuat kenyataan rasmi mengenai pelaksanaan solat tarawih di masjid ketika pandemik Covid-19.

“Madinah Ramadhan ini akan diteruskan dengan SOP dan kapasiti pengunjungnya dikurangkan, kalau dahulu Madinah Ramadan dapat menampung sehingga 1,300 kali ini 500 orang sahaja.

“Namun pelaksanaan solat tarawih di masjid di Kelantan ini kita akan tunggu keputusan Maik, mereka akan putuskan sama ada kita benar sembahyang tarawih dengan SOP,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2021

- Advertisement -