Tembak anggota PGA: PDRM mohon ekstradisi dari Thailand

Tan Sri Abdul Hamid Bador
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memohon ekstradisi tiga warga Thailand yang merupakan suspek utama kejadian serangan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand November lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, usaha memohon ekstradisi itu adalah bagi membolehkan kesemua mereka ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di negara ini.

- Advertisement -

“Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainudin) telah menandatangani permohonan ekstradisi yang dibuat baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata permohonan itu adalah selaras dengan hubungan antara Malaysia dan Thailand melalui triti (persetujuan secara formal antara dua pihak) yang dimeterai di Bangkok, Thailand pada 4 Mac 1911 iaitu Treaty between the United Kingdom and Siam Respecting the Extradition of Fugitive Criminals.

“Setelah Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan perjanjian Triti tersebut telah diperbaharui pada 27 Okt 1959,” katanya.

Abdul Hamid berkata, PDRM komited untuk memastikan segala usaha diambil agar kesemua suspek kes itu dapat dibawa ke Malaysia untuk dihadapkan ke muka pengadilan mengikut proses undang-undang di negara ini.

Pada 24 Nov, seorang anggota polis Sjn Baharuddin Ramli terbunuh manakala rakan setugasnya Sjn Norihan a/l Tari cedera parah dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup, di Tembok Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Kejadian pada 2.30 pagi itu dilaporkan ketika dua-dua anggota PGA terbabit sedang menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan. – BERNAMA

- Advertisement -