Kes penderaan: KPWKM teliti semula SOP taska

- Advertisement -

PASIR MAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) pusat asuhan atau Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh negara bagi menangani kes penderaan.

Timbalannya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tindakan terbabit diambil bagi menjaga keselamatan kanak-kanak susulan kejadian terbaru melibatkan penderaan kanak-kanak.

Semalam tular video berdurasi 10 saat tentang seorang guru wanita mengangkat dan menghempas seorang murid lelaki sambil disaksikan oleh murid-murid tadika yang lain, video berkenaan telah mencetuskan kemarahan orang awam.

Beliau berkata, ibu bapa perlu pastikan tempat asuhan atau penjagaan kanak-kanak itu juga berdaftar dengan pihak bertanggungjawab terlebih dahulu sebelum menghantar atau meletak anak-anak mereka.

- Advertisement -

“Kita menerima laporan banyak taska atau tempat asuhan yang tidak berdaftar serta tidak pernah ada latihan. Perkara ini amat penting untuk keselamatan nyawa kanak-kanak dan ibu bapa perlu peka sebelum hantar anak-anak ke pusat asuhan.

“Ibu bapa yang terkesan atau trauma dengan insiden ini juga akan dibantu memandangkan pihak kami mempunyai khidmat pegawai pelindung dan pakar kaunseling melalui Lembaga Kaunselor Malaysia,” katanya.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan selepas merasmikan program Malaysia Prihatin, di Komplek Tarbiyah Islamiah (KOMTIK), pada Sabtu.

Oleh itu, beliau turut menyeru agar semua pihak segera melaporkan di talian Kasih 15999 bagi mendapatkan bantuan berkaitan penderaan, pengabaian, keganasan rumah tangga dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Kelantan antara negeri kedua terendah mencatatkan jumlah individu hanya seramai 177.125 orang yang berdaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun katanya, sehingga 24 Mac 2021 peratusan pendaftaran penduduk di negeri ini masih berada pada tahap 14.4 peratus menunjukkan tahap kesedaran rakyat tentang vaksin Covid-19 masih rendah.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh rakyat di negeri ini untuk segera mendaftarkan diri bagi mendapat suntikan vaksin Covid-19 agar selari dengan aspirasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar lebih ramai rakyat Malaysia mendaftarkan diri bagi menerima suntikan itu. – HARAKAHDAILY 27/3/2021

- Advertisement -