Faham, sedia tarikh sesuai PRU15 – Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno memahami dan bersedia menunggu tarikh sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat memandangkan masyarakat sudah dilatih untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata, untuk mendapatkan mandat rakyat dalam keadaan pandemik yang masih tinggi kesnya, tidak sesuai.

“Maka kita akan tunggu seperti mana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa apabila reda sahaja iaitu graf Covid-19 mendatar, maka kerajaan mengadakan pilihan raya umum.

“Bila? Kita tak tahu, sebab pandemik ini nampaknya masih kekal 1,300, sekejap 1,500 dan itu tinggi tetapi kalau kita boleh adakan, why not, sebab kita dah faham dan telah dilatih menjaga penjarakan fizikal dan mengetahui wabak Covid-19 amat berbahaya kepada manusia,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dihadiri kira-kira 700 perwakilan secara hibrid di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menjelaskan BN yang dianggotai oleh Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan bertanding di bawah logo gabungan tersebut pada PRU15.

“BN, apa juga kerjasama (politiknya), akan tetap terus bertanding di bawah tiket BN. Maknanya, kita akan bertanding di atas asas BN,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyifatkan maklumat tentang rundingan di antara Umno dan parti lain berlandaskan Melayu dan Islam selain PKR pada pilihan raya, adalah hanya khabar angin semata.

“Kalau tanya saya, saya tak tahu kerana saya tak terlibat dalam apa-apa rundingan, maka bagi parti itu adalah satu khabar angin kerana khabar angin politik ini macam-macam.

“Ini bukannya keputusan parti. Apa juga political correctness yang kita nak buat, kita akan kembalikan kepada ahli dan parti akan buat keputusan.

“Tiada sesiapa atau mana-mana individu atau kelompok yang boleh menggesa kita bekerjasama dengan sesiapa kerana partilah yang akan membuat keputusan.

“Umno akan bertanding minimum 96 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang dan saya boleh bertanding di mana-mana, dari Perlis hingga ke Johor,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/3/2021

- Advertisement -