Kelantan kempen solat Subuh berjemaah di masjid

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sambutan bulan solat yang diadakan di Kelantan sejak 1993 sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa sebagai benteng daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri mementingkan pelaksanaan solat dalam kehidupan harian.

Katanya program itu disambut pada setiap bulan Rejab yang diadakan di seluruh Kelantan.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri meneruskan lagi program bulan solat tahun ini setelah ditangguh tahun lepas kerana wabak Covid-19.

“Kekangan semasa yang berlaku tahun lepas ekoran penularan wabak Covid-19, kita tidak dapat laksanakan sambutan bulan solat dan tahun ini kita adakan semula,” katanya pada perasmian Sambutan Bulan Solat di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darulnaim di sini semalam.

Menurutnya juga pelaksanaan bulan solat dengan tumpuan kempen solat Suboh secara berjemaah di masjid atau madrasah.

Turut hadir Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Dr Md Yusnan Yusof dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh.

Kata Mohd Nassuruddin tahun ini diadakan kempen solat Suboh berjemaah di semua jajahan.

Beliau berkata, inisiatif tersebut digerakkan Bahagian Dakwah Halaqat bagi memperkasakan dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam (MBI).

“Selepas pelancaran sambutan bulan solat kita akan melancarkan kempen solat Subuh berjemaah di semua jajahan.

“Setiap bulan akan diadakan pelancaran dan kempen di setiap jajahan disempurnakan oleh Ketua Jajahan masing-masing,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/3/2021

- Advertisement -