Presiden PAS terima jemputan hadiri PAU 2020

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah menerima jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020.

“Insya-Allah, akan hadir,” ujar Tuan Ibrahim dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berharap semoga penyatuan ummah yang menjadi teras Muafakat Nasional akan terus diperkukuhkan.

- Advertisement -

Perhimpunan Agung Umno 2020 yang akan diadakan pada 27 dan 28 Mac ini bakal mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kali diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 Umno bahagian.

Pematuhan SOP juga dilakukan seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan.

Dalam masa yang sama Umno akan berusia genap 75 tahun pada 11 Mei ini.

Difahamkan, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sempena sambutan 75 tahun kelahiran Umno.

Antara aktiviti adalah sayembara (pertandingan) penulisan puisi, video pendek dan mencipta logo. – HARAKAHDAILY 25/3/2021

- Advertisement -