Kelantan bina makmal pusat hasil semen lembu

- Advertisement -

BACHOK: Kelantan akan membina sebuah mini makmal sebagai pusat penghasilan semen lembu dan tempat penghasilan peralatan bagi tujuan itu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sebanyak RM200,000 diperuntukan bagi membina makmal tersebut di Jeram Pasu, Pasir Puteh.

Katanya kemudahan terbabit dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada Jun hadapan.

“Kerajaan negeri berhasrat mengembangkan lagi sektor penternakan di Kelantan melalui kajian dengan kerjasama Kelantan Biotech Corporation (KBC) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan.

- Advertisement -

“Sekarang kita sudah ada lembu-lembu Naimbif berkualiti, jadi ada baiknya kita buat kajian sendiri, lebih jimat dan lembu yang dihasil dapat dipastikan sesuai dengan suasana iklim kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Himpunan Jurusuntik (AI) Kelantan 2021 dan Pelancaran Skim Semen Beku dan Buku Naimbif di perkarangan rumah penternak di Kampung Aman Kandis di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jajahan Bachok Mohd Farid Abdul Razak, Ketua Pembangunan Industri Penternakan Jabatan Perkhidmatan Veterina Kelantan Dr Syarifah Asiah Mohd Amin dan Pengurus Besar KBC Nik Noor Hafizu Nik Ibrahim.

Pada program tersebut anggota Exco menyampaikan sijil penghargaan kepada 72 jurusuntik permanian berhadas yang berdaftar dan melancarkan buku Naimbif fasal kedua.

Selain itu mengagih sebanyak 2,000 dos semen beku secara percuma kepada jurusuntik dengan sasaran memperolehi kelahiran kira-kira 1,600 anak lembu tahun ini.

Tuan Mohd Saripudin berkata, peruntukan awal sebanyak RM200,000 untuk pembinaan makmal mini, kandang, infrastruktur dan membeli lembu penjantan yang bernilai RM20,000 seekor.

Menurutnya kerajaan negeri akan membeli empat ekor lagi lembu penjantan. – HARAKAHDAILY 25/3/2021

- Advertisement -