Hubungan Amerika-Malaysia amat baik – duta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia menikmati hubungan yang sangat baik pada masa ini, sama ada dalam ekonomi dan keselamatan mahupun hubungan rakyat.

Duta baharu AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters berkata dalam bidang ekonomi, 500-700 syarikat AS telah melabur di Malaysia dengan pelaburan melebihi US$10 bilion.

“Daripada aspek keselamatan, kami telah bekerjasama dengan tentera Malaysia dalam meningkatkan kemampuan untuk mempertahankan kepentingan, termasuk berkaitan radar dan dron yang lebih baik,” katanya ketika melawat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), di sini hari ini.

- Advertisement -

Daripada aspek untuk meningkatkan hubungan rakyat, terdapat program pertukaran belia termasuk di bawah Fullbright, dan Program Kepemimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP).

“Wujud hubungan yang sangat baik di ketiga-tiga bidang tersebut,” katanya.

Mengenai bagaimana pandangan pentadbiran Presiden Joe Biden terhadap rantau ini, beliau berkata; “Saya fikir ada minat mendalam berhubung perkongsian di seluruh dunia pada umumnya, Malaysia juga merupakan rakan kongsi AS yang rapat.”

McFeeters berkata antara agenda yang akan diusahakan kedutaan ialah untuk menggalakkan pegawai kanan AS, termasuk Presiden Biden, hadir ke persidangan tahunan Asia Tenggara.

Mengenai Covid-19, beliau berkata kerjasama dalam bidang kesihatan antara kedua-dua negara telah terjalin sebelum wabak lagi, dengan sejumlah program dilancarkan AS untuk kepentingan dunia, termasuk program meramal penyakit masa depan membabitkan kos US$200 juta.

McFeeters berkata Malaysia dan AS juga terbabit dalam inisiatif Covax untuk membantu menyediakan vaksin kepada negara berpendapatan rendah, dengan AS merancang menyumbang US$4 bilion.

Selepas 10 tahun meninggalkan negara ini, beliau dapati Malaysia telah menyaksikan lebih banyak kemajuan.

McFeeters menghabiskan separuh daripada kerjayanya dalam Perkhidmatan Luar Negeri selama 30 tahun di Asia Tenggara termasuk menjadi Penasihat Politik Kedutaan AS di Kuala Lumpur dari 2009 hingga 2011.

Lawatan ke Bernama hari ini antara agenda awal dalam jadual duta itu sejak menyerahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Khamis (18 Mac). – BERNAMA

- Advertisement -