Muzium perkenal ‘passport’ pelajar kunjungi muzium

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kebiasaannya orang ramai terpaksa memohon passport sebelum memulakan perjalanan ke luar negara. Ia menjadi peraturan yang diwajibkan.

Namun lain pula di Kelantan apabila passport dijadikan sebagai ‘tiket’ untuk berkunjung ke sembilan muzium yang terdapat di Kelantan.

Pelaksanaan passport oleh Perbadanan Muzium Negeri bagi memberi ‘markah’ kepada pelajar yang menjalankan aktiviti kokurikulum di muzium.

Passport itu bernilai RM10 boleh digunakan sepanjang tahun dan tiada tarikh luput.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, Perbadanan Muzium mensasarkan seramai 10,000 penyertaan pelajar sekolah.

Katanya pelaksanaan sistem passport itu dijangka bermula tahun ini.

“Jadi dengan passport ini sesiapa sahaja boleh melawat sembilan muzium di Kelantan. Yang penting pelajar boleh melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan harga RM10 sepanjang tahun.

“Sekiranya pelajar berkunjung ke muzium, katalah sembilan daripada tujuh sahaja muzium yang dia pergi, maka cop setiap kehadiran itu boleh mendapatkan markah dalam kerja ko kurikulum pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Passport Muzium di Gelanggang Seni di sini hari ini. Hadir sama Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Ahmad Shargowi Derahman.

Muzium yang terdapat di Kelantan iaitu Muzium Negeri, Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar), Muzium Diraja (Istana Batu), Muzium Kraftangan, Muzium Islam, Muzium Perang (Bank Kerapu), Muzium Kuala Krai, Balai Seni Lukis dan Muzium Wau.

Md Anizam juga berkata, Perbadanan Muzium Kelantan bekerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan bagi memastikan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokorikulum tercapai.

Beliau berharap pelancaran tersebut mendapat sambutan pelajar bagi mempelajari dan menyelami kesusahan masyarakat dahulu serta melalui artifak yang ada di muzium. – HARAKAHDAILY 22/3/2021

- Advertisement -