Pertembungan PAS-Umno hampir pasti tidak berlaku

Susulan tular video ucapan pimpinan Umno untuk Jentera Terengganu

- Advertisement -

PERTEMBUNGAN antara PAS dan Umno di Terengganu hampir pasti tidak akan berlaku (dengan kehendak Allah), sekiranya usaha memperkasakan Muafakat Nasional (MN) diteruskan. Oleh yang demikian seluruh pendukung PAS dan Umno di seluruh negara tidak perlu bimbang dengan perkembangan semasa MN pada masa kini.

Semalam telah tular video ucapan Presiden Umno dan Ketua Pemuda Umno kepada jentera parti mereka di Terengganu sehingga menimbulkan keresahan kedua-dua pendukung PAS dan Umno. Penularan ucapan kedua-dua pemimpin Umno ini telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengganggu gugat hubungan kedua-dua parti di dalam MN.

- Advertisement -

Setelah saya meneliti ucapan kedua-dua pemimpin Umno ini, saya boleh menyimpulkan bahawa ucapan kedua-dua mereka hanyalah bersifat hipotetikal. Mereka hanya membuat andaian sekiranya hubungan PAS dan Umno di dalam MN terputus di tengah jalan sebelum PRU ke-15, maka tidak dielakkan pertembungan antara PAS dan Umno akan berlaku.

Sebenarnya jika mimpi ngeri terbubarnya MN ini berlaku kepada kedua-dua parti di dalam MN, pertembungan antara PAS dan Umno turut boleh berlaku di negeri-negeri yang lain. Bagaimanapun realiti sebenarnya yang berlaku, hubungan PAS dan Umno di dalam MN semakin kukuh.

Malah Ketua Pemuda Umno, Dato Dr Asyraf Wajdi Dusuki sendiri sebenarnya berada di dalam taskforce bersama saya serta beberapa pimpinan PAS dan Umno lain, yang dipertanggungjawabkan untuk merancang agenda untuk memperkasa MN. Oleh yang demikian saya amat yakin Umno konsisten mendukung agenda Penyatuan Ummah yang menjadi teras MN.

Sehubungan dengan itu, saya menyeru seluruh pendukung PAS dan Umno supaya terus memperkukuhkan agenda Penyatuan Ummah terutama ketika umat Islam berada di ambang bulan Ramadan yang akan menjelang tidak beberapa lama lagi. Marilah kira menjadikan masa mendatang ini untuk kita mencipta satu masa depan Islam yang gemilang untuk kesejahteraan Malaysia. 

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat

22 Mac 2021
9 Shaaban 1442 – HARAKAHDAILY 22/3/2021

- Advertisement -