Covid-19: SK Bukit Jenun ditutup

Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun, Pendang ditutup selepas seorang guru dijangkiti Covid-19.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Setakat ini hanya Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jenun, Pendang sahaja yang ditutup berikutan kes positif Covid-19.

Perkara demikian dimaklumkan oleh Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Dato’ Najmi Ahmad kepada media, pada Sabtu.

“Setakat ini dalam pengetahuan saya, hanya sekolah itu sahaja yang ditutup buat masa ini. Saya belum menerima sebarang maklumat lanjut lagi berhubung kes ini,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, pihaknya akan mengikuti perkembangan ini untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan segera.

- Advertisement -

Jumaat lalu, sekolah terbabit diarahkan tutup buat sementara  berikutan kes positif Covid-19 membabitkan seorang tenaga pengajar di situ.

Notis Perintah Tutup Premis oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipamerkan di sekolah terbabit mengarahkan tiada sebarang aktiviti pembelajaran fizikal beroperasi bermula Jumaat (19 Mac) sehingga ke satu tarikh yang dimaklumkan kelak.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Dato’ Najmi Ahmad

Berdasarkan notis, penutupan itu untuk membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan di premis berkenaan.

Sementara itu status Covid-19 di Kedah telah bertukar dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 19 Mac hingga 30 Mac ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya sebelum ini.

Walau bagaimanapun, dua daerah iaitu Kulim dan Kuala Muda masih kekal berada di bawah PKPB manakala Pulau Langkawi telah mendapatkan status PKPP lebih awal iaitu pada 10 Mac lalu.

Berikutan itu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengharapkan agar rakyat Kedah terus mengamalkan norma baru dan mematuhi  prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. – HARAKAHDAILY 21/3/2021

- Advertisement -