Kedah bangkit tewaskan PJ City selepas ketinggalan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ketinggalan 1-0 pada babak pertama perlawanan tidak melemahkan semangat pasukan tuan rumah, Kedah Darul Aman FC untuk bangkit mencipta kejutan menewaskan PJ City FC 3-1 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.

Pengendali pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, kemenangan itu adalah hasil usaha anak buahnya yang bermain sebagai pasukan dan berharap momentum itu dapat dikekalkan untuk perlawanan seterusnya menentang UiTM FC.

“Syukur dan tahniah kepada pemain yang berjaya mengutip tiga mata malam ini. Ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama bukan penghalang untuk mencipta kemenangan kerana kita sentiasa mencipta peluang dan saya yakin dengan kemampuan pasukan.

- Advertisement -

“Sepanjang permainan, pemain sentiasa positif menyerap tekanan sehinggalah memanfaatkan setiap hantaran dan hasilnya dapat menjaringkan tiga gol penting pasukan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Aman di sini.

Aidil berkata beliau turut berpuas hati dengan prestasi mantap pemain import, Kpah Sean Sherman dan Tchteche Hermann Brice Kipre yang dilihat turut bergandingan dengan cemerlang.

“Harapan saya agar Renan Alves dapat diturunkan nanti dan pulih daripada kecederaan secepat mungkin bagi memperkuatkan lagi pasukan, manakala Baddrol Bakhtiar yang sebelum ini dikritik juga membuktikan kemampuan beliau sebagai penjaring kerana dia seorang pemain berpengalaman,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam berkata kegagalan dua pemain utama iaitu K. Gurusamy Govindar dan Darren Yee Deng Lok untuk meneruskan permainan akibat kecederaan menyukarkan pasukan memenangi perlawanan tersebut.

“Separuh masa pertama pemain bermain  bersungguh-sungguh dan mendahului Kedah 1-0, namun pastinya dua pemain tonggak iaitu Darren dan Gurusamy yang cedera memberi kesan kepada pasukan. Mereka boleh dikatakan seperti pemain import buat pasukan.

“Kedah pasukan yang kuat dan memiliki pemain import yang terbaik, namun saya menaruh keyakinan pasukan PJ City FC mampu bangkit pada perlawanan seterusnya bertemu Pahang nanti,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -