Pekerja bergejala tidak dibenar datang pejabat

Dato' Dr Izani Husin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Majikan diminta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menyekat penularan Covid-19 susulan wujud dua kluster baharu di tempat kerja di Kelantan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, kluster terbabit iaitu Kluster Jalan Long Yunus dan Kluster Banggol Lepah.

Katanya penularan tersebut berpunca tahap pematuhan SOP yang rendah, gagal mengamalkan penjarakan fizikal termasuk hadir ke pejabat walaupun didapati bergejala.

“Mengambil pengajaran daripada kluster yang dilaporkan, semua majikan diminta untuk memastikan SOP normal baharu tempat kerja dipatuhi pekerja masing-masing.

- Advertisement -

“Sementara pekerja pula perlu bekerjasama mematuhi SOP normal baharu bagi mencegah penularan Covid-19 di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Izani juga berkata, menjadi tanggunjawab majikan melakukan saringan suhu badan dan gejala setiap hari sebelum waktu kerja.

Selain itu menyediakan pengimbas QR dengan menggunakan aplikasi MySejahtera, majikan perlu sentiasa melakukan pembersihan pada permukaan yang kerap disentuh.

“Pekerja yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke pejabat dan perlu mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan. Selain itu hadkan masa tidak lebih 15 minit dan bilangan pekerja di surau dan pantri.

“Malah pekerja juga diminta sentiasa mencuci tangan dengan air atau hand sanitizer, menjaga penjarakan fizikal, sentiasa memakai pelitup muka dan tidak hadir jika bergejala,” ujarnya.

Sebelum ini Kluster Jalan Long Yunus sebanyak 23 kes dilaporkan yang melibatkan 12 kes di Kota Bharu, lima di Bachok dan enam di Pasir Puteh berbanding Kluster Banggol Lepah 41 kes.

Ia melibatkan 11 kes di Kota Bharu, dua Pasir Puteh, 21 di Tanah Merah, empat Kuala Krai dan empat di Bachok yang mana kedua-dua kluster terbabit menular dalam keluarga di komuniti masing-masing. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -