Bercermin diri pada arca yang berdiri

- Advertisement -

BERUBAH dan membaiki diri pastinya di dua kutub yang berseberangan, mobiliti sosial menyebabkan manusia berubah sama ada sikap atau pun orientasi cara berfikir, gaya hidup, tendensi, pengaruh sosial, pameran intelektual atau apa sahaja angkubah kehidupan yang subjektif.

Menjadi anggota legislatif, eksekutif atau pun menggalang tugas di badan berkanun, GLC pastinya memberikan abnaul harakah banyak kelebihan duniawi serta insentif yang menggiurkan.

Dalam erti kata lain atau korpus kehidupan baru ini, anda akan terpandang setelah menapak dalam takah-takah baru hierarki sosial yang memancing pesona bahkan mengundang musuh luaran dan dalaman organisasi. Jawatan yang digalang pastilah disertai dengan mempunyai gaji, insentif kewangan yang pelbagai, elaun yang rencam, tarikan pengaruh serta kuasa ‘mengertak’ yang halus atau intimidasi, keluasan penghormatan dalam harkat sosial dan pelbagai kemudahan lain yang mengiringi kuasa anda.

Tak mudah menangani sikap manusia apabila menggenggam secubit kuasa sebagaimana ungkapan Abraham Lincoln “untuk mengenal seseorang, lihatlah selepas mereka berkuasa!”. Namun dengan kuasa juga kita akan meraih kelebihan akhirat, menuai ladang pahala yang besar di dunia yang akan berterusan kita hidup kelak. Namun ianya hanya akan dapat dicapai jika kita semua melaksanakan amanah yang diberikan serta melakukannya dengan ikhlas.

- Advertisement -

Menjadi YB (Yang Berhormat) atau bukan YB namun mempunyai kuasa dalam wilayah pengaruh yang tersendiri (memegang jawatan dalam GLC, badan berkanun, pegawai lantikan politik) boleh menjadikan kita semua berubah tanpa sedar atau secara sedar, namun kerana segunung rasa ego kita tak mengubati penyakit jiwa ini.

Saya tertarik dengan tulisan dan isteman baik saya, Ustaz Zakaria Ismail, seorang alumni UIA, mantan tenaga pengajar Bahasa Arab di Tahfiz An-Nur Setiu yang juga amilin PAS semenjak zaman remaja lagi. Penyakit ini mudah bersarang dan wajib diubati segera kerana ianya akan membina konotasi negatif rakyat, apatah lagi abnaul harakah yang setia mendukung jamaah ini. Simptom ‘berpenyakit’ ini antaranya:

Pertama: Bahasa percakapan anda lebih cenderung untuk menunjukkan ‘kuasa’. Semakin lama ia akan semakin ‘kasar’ dan ‘kurang sensitif’ dengan orang bawahan anda. Kemudian ia akan menjadi ‘gaya bercakap’ anda dengan rakyat tanpa anda sedari.

Kedua: Anda akan over sensitif terhadap setiap kritikan terhadap diri anda. Anda akan menjawab semua kritikan itu dengan ‘hujah’ yang kuat pada perasaan anda. Bahkan anda akan menyindir para pengkritik dengan dengan beberapa bentuk sindiran peribadi. Dan lebih teruk lagi, anda memusuhi setiap pengkritik, sama ada dalam lingkungan politik sama seperti anda atau di luar lingkungan itu.

Ketiga: Anda akan gembira dipuji dalam setiap majlis atau pertemuan. Anda rasa pengorbanan anda dihargai, dan memang sepatutnya anda dipuji. Bila anda tidak dipuji, anda terasa kosong dan tidak dihargai. Tapi sentiasa ramai yang akan memuji, bahkan ‘memuja’ anda kerana pangkat YB atau pun jawatan lantikan politik lainnya.

Keempat: Anda akan mempunyai lingkungan kenalan baru yang lebih eksklusif. Anda gembira berada dalam majlis-majlis mewah dan mesyuarat-mesyuarat penting dengan mereka. Kawan-kawan lama yang ‘mendukung’ anda sebagai YB atau jawatan lantikan politik, kelihatan terlalu ‘low standard’ jika dibandingkan dengan lingkungan kenalan baru ini.

Kelima: Anda mula membandingkan kelebihan dunia yang anda miliki dengan orang yang lebih tinggi kedudukannya daripada anda. Anda mahu setanding dengan kemewahan mereka. Anda tidak boleh ‘terkebelakang’ daripada mereka dalam bab memperaga kelebihan dunia.

Muhasabah Ustaz Zakaria ini sangat indah untuk kita semua mengambil ibrah, belum lambat untuk memperbaiki diri jika kita melakukan kesilapan yang telah disebut di atas. Perubahan lanskap politik janganlah merubah jati diri kita sebagai pejuang Islam kerana hujung jatuh kita ialah penilaian Allah SWT.

Perubahan lanskap politik negara beberapa tahun ini juga turut menyebabkan berlakunya mobiliti sosial kepada sebahagian pimpinan PAS. Anjakan harkat sosial kadang kala paralel dengan perubahan gaya hidup dan cara berfikir manusia. Ahli-ahli melihat serta mereka berhak untuk menegur kerana merekalah yang berkeringat membangunkan bangunan jamaaah ini.

Penulis teringat akan sosok Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menangani sikap dan tarikan pesona kepada mandraguna kuasa dan kekuasaan. Apabila PAS memenangi Kelantan dalam PRU 1990, almarhum sentiasa memerhatikan cara hidup pimpinan PAS Kelantan.

Ingatan dalam usrah qiadi, agar jangan bermegah dan bermewah. Menjadi pimpinan adalah pelayan rakyat, jangan rakus membesarkan rumah kediaman, menukar kenderaan mewah, menambah koleksi bini, berwisata ke luar negara dengan keluarga dalam keadaan rakyat mengikat perut.

Almarhum Ayah Ziz memberikan cadangan kepada pimpinan agar mengamalkan puasa sunat dengan serius. “Kita ni, kalau makanan halal pun kita tak makan, takkan makanan haram kita akan makan”, pesannya lirih kepada para pimpinan.

Kurikulum tersembunyi daripada puasa sunat Isnin dan Khamis begitu sekali menatijahkan impak besar kepada pimpinan kerajaan Kelantan. Selama tiga dasawarsa, PAS memerintah Kelantan tanpa adanya sabitan kes SPRM. Puasa sunat menghancurkan obsesi kuasa, menjadikan jasad sihat serta menyelimutkan akhlak mulia kepada pengamalnya. Almarhum Tuan Guru sentiasa berpesan agar pimpinan agar melazimi qiamullail, solat dhuha, solat witir, memperbanyakkan sedekah dan amalan sunat yang lain.

Almarhum Tuan Guru sentiasa berpesan dan mengingatkan penggalang jawatan YB di negeri tadahan wahyu, Kelantan Serambi Mekah, antaranya satu kisah kisah yang dinukilkan oleh kekanda saya, mantan ADUN Limbongan.

”Comel cincin anta cikgu,” tegur Almarhum Tok Guru kepada ADUN Limbongan, Drs Cikgu Zainuddin Awang Hamat sambil matanya tepat memandang jari aktivis dakwah itu. “Ini hadiah seorang sahabat Tok Guru,” tukas Cikgu Din, anggota legislatif yang kuat bekerja di Kelantan.

“Ana menangis apabila teringat pesanan Tok Guru… almarhum sangat memerhati cara gaya wakil-wakil rakyat PAS Kelantan,” ujar Cikgu Din dalam satu program di Besut. Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah meninggalkan kita semua dengan seribu kebaktian dan keteladanan.

Setahun yang lalu, ada satu peristiwa yang menggamit relung hati kami apabila Tuan Guru Presiden PAS yang kami mesrai dengan panggilan Ayah Chik berpesan kepada semua menteri, timbalan menteri dan seluruh pimpinan agar menjaga cara hidup. Ingatan itu terus juga diberikan dalam pelbagai program dalaman PAS kepada anggota legislatif.

Murabbi ini tidak mahu meletakkan dirinya dalam barisan Kabinet, beliau memantau anak-anak buah bekerja dalam Kabinet. Pesan Ayah Chik agar semua pimpinan PAS kena pastikan isteri dijaga dengan baik, tidak menunjuk-nunjuk kepada orang kampung. Memperagakan kekayaan adalah sikap yang jelek, apatah lagi kepada pimpinan gerakan Islam.

Suasana bening seketika, seolah-olah memotong keseronokan kami bermesyuarat di era kemenangan, era tamkin yang mempersona dan menggiurkan sukma. “Potong stim” kata anak-anak muda namun itulah Ayah Chik kami, dia sentiasa berpesan dan mengingatkan kita semua tentang hala tuju kehidupan .

Ayah Chik menarik nafas yang bergelombang, “hargai anak-anak buah, pengikut kerana ada yang hidupnya susah berjuang”. Bergetar suara dan sebak Ayah Chik, suara kembali lirih sambil mengesat mata dengan tisu seputih salju yang dikeluarkan daripada kotak di atas meja. Allahu, saat ini akan kukenang sampai kapan pun. Ingat semua YB-YB PAS, pegawai-pegawai lantikan politik, insan yang mendapat laba setelah fasa kemenangan ini. Jangan membina jarak dengan anak buah, jangan membina lingkungan sosial eksklusif sehingga ada tembok kaca dengan anak buah. Baiki amal ibadah dengan serius dan ambil masa untuk bercermin diri.

Kami semua diam tak berkutik diingatkan oleh murabbi Presiden. Jawatan bukan kemuliaan namun ianya satu tanggungjawab, ada kira bicara di akhirat di samping ahli-ahli jamaah melakukan observasi.

Moga kuasa dan kekuasaan tidak menggerus keperibadian pimpinan PAS. ”The power is sweet,” ujar politikus tanpa kitab, mandraguna kuasa adalah sangat menggerunkan! – HARAKAHDAILY 17/3/2021

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -