Polis tahan lelaki pecah cermin kenderaan

- Advertisement -

MUAR: Polis menahan seorang lelaki yang bertindak memecahkan cermin hadapan sebuah kenderaan menggunakan topi keledar di Pekan Parit Jawa semalam.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian kira-kira 3.25 petang itu, seorang pemandu wanita berusia 26 tahun telah diserang (khianat ke atas kenderaan) oleh penunggang motosikal berumur 25 tahun.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham melibatkan kedua-dua pihak, berkaitan cara pemanduan kenderaan masing-masing yang menyebabkan suspek bertindak agresif,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

- Advertisement -

Selain cermin hadapan, Zaharudin berkata suspek yang berang turut memecahkan cermin sisi kereta sebelah kanan pemandu dan merosakkan bonet hadapan menggunakan topi keledarnya.

Beliau berkata ketika ditahan polis, suspek berada dalam keadaan tidak terkawal dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan, malah siasatan awal juga mendapati lelaki itu dipercayai mengalami masalah mental dan masih menerima rawatan.

“Polis juga menasihati mana-mana pihak supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang video atau gambar mahupun kenyataan menerusi laman sosial sehingga tular yang boleh menimbulkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya dan menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Video berdurasi satu minit 38 saat yang menunjukkan seorang lelaki berang dengan memecahkan cermin dan merosakkan kereta milik seorang wanita di pekan itu tular menerusi media sosial sejak semalam. – BERNAMA

- Advertisement -