Gerak kebangkitan sivil hadapi PRU15

- Advertisement -

KOTA BHARU: Biarpun Umno seperti enggan berganjak memutuskan tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun ramai bimbang parti itu berdepan dengan banyak kesukaran.

Umno tiada pengalaman menghadapi PRU berada di blok pembangkang kerana setiap PRU sebelum ini parti itu tidak dinafikan memanfaat kemudahan kerajaan ketika mendepani pilihan raya.

Ia berbeza ketika Umno menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca PRU14 kerana kemenangan yang diraihkan hasil penyatuan di bawah Muafakat Nasional (MN) yang bermula di Cameron Highlands.

Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Negeri Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, pemimpin Umno belum ada pengalaman menghadapi PRU berada di posisi pembangkang.

- Advertisement -
Dr Wan Nik Wan Yussof

Katanya, perkara itu semua sedia maklum sejak PRU pertama selepas merdeka sehingga PRU 14 Umno mudah berada di gelanggang rakyat kerana ada jentera kerajaan.

“Jadi peluang terbaik bagi membantu Umno menghadapi PRU15 boleh memanfatkan pakatan yang ada sekarang atas nama Perikatan Nasional (PN).

“Namun nampaknya ada kesukaran kerana parti terbabit dilihat tiada kekuatan untuk keluar daripada saf pimpinan sekarang yang disebut ramai sebagai kluster mahkamah,” katanya di sini.

Baru-baru ini bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Muhammad Azmin Ali mengajak Umno ke meja rundingan bagi menyelesaikan agihan kerusi bagi menghadapi PRU15.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Umno. Dato’ Seri Ahmad Maslan dan Pengarah Pilihan Raya Umno Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan tiada perubahan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum ini.

Pada akhir Februari lepas Umno menghantar surat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memutuskan kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15.

Bagaimanapun Dr Wan Nik juga berkata, bagi mengisi ruang untuk menguatkan kembali benteng orang Melayu dan Islam di negara ini perlu digerakkan kebangkitan sivil melalui kumpulan ketiga.

Kata beliau kumpulan terbabit merupakan ikon masyarakat yang mempunyai pengikut begitu ramai.

Antaranya Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Ebit Liew dan Zai Mustafa yang memiliki pengikut ramai dan gerakan digerakkan mereka begitu tersusun.

“Gerakan kesedaran rakyat boleh dimanfaatkan individu terbabit dengan memfokus penyatuan ummah bagi mengisi ruang yang ditinggalkan pemimpin politik tertentu.

“Kumpulan itu mampu menjadi kuasa ketiga yang disegani dengan menggerakkan kebangkitan ummah mengajak masyarakat Melayu dan pelbagai kaum di negara ini mewujudkan suasana politik yang harmonis dan matang.

“Pengalaman 22 bulan berada di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini begitu membimbangkan dengan pelbagai isu kaum muncul sehingga orang Melayu bernaung kembali di bawah penyatuan ummah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -