Vaksin Covid-19: Utamakan bilal, imam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sewajarnya memberi keutamaan kepada imam, bilal dan pengurusan masjid untuk menerima suntikan awal vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Hakim Hafizi Hamizan, berkata mereka terdiri dari kalangan yang berusia dan lebih dekat dengan masyarakat sekeliling.

Abdul Hakim berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan pandangannya demi kebaikan rakyat.

”Dengarilah dan ambil berat akan keluh kesah dan suara rakyat, utamakan pada mereka yang berada dalam golongan yang berisiko tinggi dan mudah dijangkiti. Lindungi diri lindungi semua,” katanya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Untuk rekod, program pelaksanaan vaksinasi di negara ini dilaksanakan melalui tiga fasa iaitu pertama, kedua dan ketiga.

Fasa pertama membabitkan seramai 571,802 petugas barisan hadapan (frontliners) yang dilaksanakan antara Februari hingga April 2021.

Fasa kedua iaitu antara April hingga Ogos 2021, untuk kumpulan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) melibatkan 9.4 juta orang.

Manakala, fasa ketiga pula, iaitu antara Mei hingga Februari 2022, untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Sehubungan dengan itu, vaksin akan mula menunjukkan keberkesanan melalui peningkatan antibodi dalam badan bermula dari hari ke-12 selepas dos pertama diberikan.

Pembentukan antibodi akan meningkat secara mendadak selepas pemberian dos kedua.

Ini bermakna, seseorang akan dilindungi secara optima selepas menerima kedua-dua dos untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit Covid-19 yang serius.

Walaupun seseorang itu telah menerima dos lengkap vaksin, beliau masih perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti mengamalkan 3W iaitu Wash, Wear, Warn dan mengelakkan 3C iaitu mengelakkan Confined space (Sempit), Crowded (Sesak) dan Close conversation (Sembang dekat).

Walau bagaimanapun, pada masa ini, tempoh perlindungan jangka panjang terhadap Covid-19 masih belum diketahui.

Namun begitu, terdapat juga golongan yang tidak boleh menerima Covid-19 Pfizer-BioNTech sekiranya mempunyai sejarah kemasukan ke hospital akibat dari alahan yang teruk, mengalami reaksi alahan yang teruk setelah menerima dos pertama vaksin jenama ini, mempunyai reaksi alahan yang teruk terhadap mana-mana vaksin yang pernah diterima sebelum ini, sedang hamil atau sedang menyusukan bayi.

Justeru, pendaftaran vaksin di aplikasi MySejahtera merupakan antara lima kaedah pendaftaran yang disediakan kerajaan untuk mendapatkan suntikan vaksin dan lebih 4.6 juta rakyat telah mendaftar vaksin menerusi aplikasi tersebut. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -