Kerajaan PN pastikan keselamatan makanan terjamin

- Advertisement -

PASIR MAS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sentiasa memastikan bekalan makanan mencukupi bagi keperluan rakyat biarpun negara mendepani pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdulllah Mat Nawi berkata, pengeluaran makanan berterusan dan rakyat dijamin mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

Katanya, sepanjang setahun tidak dinafikan kementerian turut mendepani cabaran bagi memastikan pengeluaran makanan negara mencukupi untuk dibekalkan kepada seluruh rakyat.

- Advertisement -

“Alhamdulillah ia dapat diselesaikan dengan sebaiknya bagi menjamin bekalan makanan mencukupi. Sektor dalam menyediakan bekalan makanan terus meningkat positif.

“Sepanjang tempoh setahun ini walaupun tidak menafikan terdapat masalah-masalah kecil terutama berkaitan aspek penghantaran dan sebagainya.

“Namun kita selesai dengan sebaiknya,” kata beliau pada sidang media sempena majlis pelancaran baja Realstrong N Bio Booster di Bendang Lipan, Mukim Lalang hari ini.

Institut Penyelidikan Polisi Makanan Antarabangsa pada tahun lepas memberi jaminan masyarakat dunia tidak perlu bimbang ketidakcukupan sumber makanan semasa pandemik Covid-19.

Malah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menjamin bekalan makanan seperti beras, daging, ikan dan sayur berada stabil sepanjang masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Che Abdullah juga berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) serius dengan mempengerusikan jawatankuasa khas kabinet memastikan keselamatan makanan terjamin.

“Ini jelas menunjukkan kemuncak bagi segala kesungguhan gerak kerja kementerian yang dipantau sendiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -