Warga Maritim tiada alahan terima suntikan vaksin

- Advertisement -

ARAU: Zon Maritim Kuala Perlis menerima suntikan vaksin secara berperingkat bermula 1 Mac sehingga semalam yang diadakan di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, seramai 67 pegawai dan anggota Maritim yang bertugas sebagai barisan hadapan menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kesemua pegawai dan anggota yang mendapat suntikan dos pertama vaksin tersebut diberi tempoh masa selama 30 minit untuk pemantauan oleh petugas Klinik Kesihatan Kampung Gial.

- Advertisement -

“Alhamdulillah didapati kesemua mereka yang menerima vaksin dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang alahan atau kesan sampingan,” katanya di sini semalam.

Sebelum itu Zon Maritim Kuala Perlis menerima taklimat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang disampaikan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Kuala Perlis, Dr Suraya Mokhtar.

Taklimat itu diadakan di pejabat Zon Maritim Kuala Perlis pada 26 Februari lepas sebagai persediaan awal sebelum menerima vaksin.

Mohd Shafie turut berharap rakyat Malaysia terutamanya komuniti maritim mendaftarkan diri bagi pengambilan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera sebagai usaha meningkatkan imuniti masyarakat. – HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -