Kementerian pandang serius isu keganasan rumah tangga

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengutuk sekeras-kerasnya kes seorang suami dipercayai menembak isteri ketika tidur di Johor, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, amat tidak wajar kes berkenaan berlaku lebih-lebih lagi membabitkan orang Islam.

Katanya, beliau amat sedih memandangkan kezaliman yang berlaku itu kerana ada kaitan dilakukan anggota keluarga sendiri yang terdekat.

- Advertisement -

“Wanita sepatutnya disayangi apa lagi seorang isteri tidak sepatutnya diselesaikan dengan cara begitu.

“Apa sahaja masalah yang dihadapi, kedua-dua belah pihak perlu menanganinya dengan cara baik dan tulus mengikut ajaran Islam,” ujarnya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini seorang wanita yang dilaporkan hilang sebelum itu akhirnya ditemui mati dipercayai dibunuh suaminya akibat cemburu.

Berikutan itu polis menahan dua suspek lelaki berusia 43 tahun yang merupakan suami mangsa dan seorang rakannya berusia 32 tahun bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa ditemui dalam tong air berwarna biru yang ditanam di sebuah ladang yang terletak di Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, setiap pasangan yang melayari rumah tangga mempunyai ujian yang tersendiri.

Namun katanya, kedua-duanya pihak mesti menangani cabaran itu mengikut yang digariskan Islam kerana tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Sehubungan itu beliau berharap pihak keselamatan menangani isu tersebut sebaik mungkin dengan membuat siasatan secara terperinci. – HARAKAHDAILY 8/3/2021

- Advertisement -