Polis tahan individu menyamar kerabat Diraja Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang individu yang menyamar sebagai kerabat Diraja Kelantan bagi mendapat sumbangan orang ramai serta menawarkan pangkat Dato’ ditahan Polis Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, penahanan individu berusia 69 tahun itu dilakukan selepas membuat siasatan terhadap penjawat awam di Machang.

Menurutnya, tindakan itu dibuat selepas menerima laporan daripada pihak istana yang memaklumkan ada pihak yang bertindakan memalsukan dokumen dan anugerah dari kerabat Istana Kelantan.

- Advertisement -

“Siasatan telah pun dilakukan dan kami menangkap seorang lelaki Melayu seorang penjawat awam di Machang dan merampas dokumen berkaitan atas penama bergelar Dato’.

“Jadi kami menjalankan siasatan terhadap tangkapan pertama memaklumkan menerima kad Istana Balai Besar dari seorang lelaki yang mengaku sebagai kerabat Diraja Kelantan,” katanya di sini.

Susulan itu Shafien berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Kelantan telah membuat tangkapan terhadap lelaki Melayu berumur 69 tahun di Kampung Tanah Merah, Machang dekat sini.

Semasa tangkapan dilakukan jelas beliau, polis merampas dokumen serta surat yang mengandungi nama kerajaan negeri dan logo istana yang dipalsukan untuk kepentingan diri sendiri.

Hasil rampas itu katanya seperti empat kad ahli Istana Balai Besar, sekeping surat yang menggunakan nama kerajaan negeri dan satu cop tertulis kerabat Diraja Kelantan.

Pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan, menipu dengan cara samaran; Seksyen 468 Kanun Keseksaan, pemalsuan surat istana dan Seksyen 473 Kanun Keseksaan, memiliki cop palsu.

Kedua-dua individu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat untuk dibuat pertuduhan esok bagi satu kesalahan dan dua kesalahan lagi di Mahkamah Majistret Machang.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati suspek berusia 69 tahun tiada kaitan langsung dengan istana, dia pun mengaku tiada hubungan dan menggunakan maklumat palsu semata-mata.

“Jadi saya memberi amaran kepada mana-mana pihak janganlah sewenang-wenangnya menggunakan maklumat yang dipercayai palsu mahupun mengaitkan sesuatu dengan nama Istana Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2021

- Advertisement -