Muafakat Nasional Negeri Sembilan terus diperkukuhkan

- Advertisement -

SATU tahun Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan tidak bermesyuarat atas kekangan wabak COVID-19 melanda dunia. Semalam 5 Mac 2021 mesyuarat kali ke-5 Muafakat Nasional Negeri Sembilan dilangsungkan dengan kehadiran DS Utama Hj Mohamad Bin Hj Hasan (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan) selaku Pengerusi Bersama MNN9 dengan Hj Rafiei Mustapha (Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan).

Kali terakhir bermesyuarat 25 Februari 2020 untuk tujuan Program Perlancaran Muafakat Nasional Negeri Sembilan yang sepatutnya diadakan pada Mac 2020. Insya-Allah, program ini akan diteruskan pada tahun 2021.

- Advertisement -

Mesyuarat kali ini diberi penekanan untuk menyusun program mengeratkan tautan silaturrahim antara pemimpin PAS dan Umno begitu juga beberapa program disusun bersama untuk menyatakan sokongan dan kerjasama erat dua parti terbesar orang Melayu ini.

Walaupun sedia maklum akan keputusan MKT Umno beberapa hari lepas untuk bekerjasama dengan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN), tetapi Muafakat Nasional tidak pernah terjejas. Ia dibina atas kesefahaman yang tinggi dalam kerangka Piagam Muafakat Nasional.

PAS akan terus dengan agenda Pertahankan Perikatan Nasional dan Perkukuhkan Muafakat Nasional di segenap peringkat. Objektif pilihan raya kali ini untuk 1 penjuru akan dipandu sebaiknya di peringkat DUN dan Parlimen seluruh Negara khususnya di Negeri Sembilan.

Mesyuarat semalam juga sangat tersusun dengan mengikut garis panduan Mesyuarat oleh MKN di kawasan PKPB. Mesyuarat juga mengingatkan untuk seluruh Pimpinan PAS dan Umno supaya mengekalkan SOP ini di setiap program yang bakal dijalankan.

Semestinya pembahagian kerusi menjadi persoalan di setiap benak rakyat Negeri Sembilan. Kepimpinan PAS dan Umno Negeri Sembilan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan PAS Pusat dan Umno Nasional untuk menentukan kerusi dan calon Negeri Sembilan yang berkaliber, bersih dan berintegriti sesuai dengan kehendak semasa.

PAS akan terus membawa agenda Islam Memimpin Perpaduan bagi memastikan pengalaman 22 bulan di bawah Pakatan Harapan yang ditunjangi DAP tidak akan berulang lagi. Rakyat harus sedar dan bersama-sama untuk memastikan agenda Penyatuan Ummah ini berjaya demi untuk kestabilan negara dan keharmonian hidup rakyat Malaysia.

BADZLI BAKAR
Ketua Penerangan 
Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 6/3/2021

- Advertisement -