Umno akui kekalahan PRU14 menginsafkan – Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
- Advertisement -

KOTA BHARU: Umno mengakui kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) banyak mengajar dan menginsafkan pemimpin dan ahli parti itu.

Bagaimanapun Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya sebahagian rakyat yang pernah menolak Umno pada PRU14 menyedari natijahnya biarpun masih ada yang segan dan silu.

“Kini peranan kita berlapang dada. Sedangkan lidah lagi tergigit. Hulurkan tangan kepada mereka. Kembali berpadu atas nama kebenaran.

“Kepada seluruh ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) yang dikasihi. Bukan kita tidak pernah cuba bertahan, tetapi apakan daya mereka mengharapkan guruh di langit, air tempayan dicurahkan,” katanya pada lontaran di media sosialnya, hari ini.

Kata beliau selepas lebih tiga tahun berlalu Umno dan BN cuba belajar mempelajari dalam situasi sekarang apabila tidak lagi mengemudi pentadbiran negara.

- Advertisement -

Lantas beliau mengingatkan tidak perlu lagi diungkap tentang soal kebajikan rakyat, keadaan ekonomi, kedaulatan undang-undang, hubungan kaum, keluhuran Perlembagaan dan amalan demokrasi.

“Tetapi jangan disama ertikan rakyat dengan katak si katak lompat. Jangan disamakan mangsa dengan pemangsa.

“Ahli serta penyokong Umno dan BN perlu mengakui segelintir kita turut terperangkap dengan helah dan tipu daya politik PRU14.

“Terperangkap dengan psikologi lawan mempermainkan sentimen dan emosi ahli serta penyokong Umno/BN untuk menumbangkan parti sendiri,” ujarnya.

Menurutnya juga ketika kempen PRU lepas ceramah lawan politik di kawasan-kawasan yang dianggap kubu kuat Umno dengan memburuk-burukkan pemimpin Umno dengan pelbagai tuduhan dan dakyah.

Malah mereka mendakwa bukan mahu menghancurkan Umno sebaliknya menyelamatkan parti itu oleh pemimpin kerajaan baharu.

Bagaimanapun malangnya kata Dr Ahmad Zahid selepas Umno dan BN tewas parti itu dihina, dikeji dan cuba dihapuskan secara total.

“Mujur sebahagian pemimpin Umno dan BN yang diilustrasikan dengan begitu jahat tidak tahu erti mengalah.

“Tetapi kita maklum karma kemenangan pilihan raya dengan tipu daya, pembohongan dan fitnah tiada maruah apatah keberkatan,” ujarnya.

Namun kata beliau rakyat semakin celik dan mereka terpaksa kembali bertemu dalam penentuan PRU15.

“Cukuplah apa yang sudah kita lalui sejak 9 Mei 2018. Sejarah mendewasakan. Pengalaman sepatutnya mematangkan.

“Kita kembali bertaut. Negara perlu diperkasakan semula sebelum terlewat. Kemakmuran hidup rakyat perlu diperteguhkan sebelum bertambah parah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 3/3/2021

- Advertisement -