KDA FC berazam beri aksi terbaik bertemu JDT

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) FC berazam memberikan aksi terbaik dalam perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah musim ini, walaupun dilihat sebagai pasukan ‘underdog’ atau bukan pilihan berbanding lawannya iaitu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata pihaknya mengakui kelebihan JDT yang memiliki pemain hebat hampir di semua posisi sekali gus menjadikan pasukan dari selatan tanah air itu sebagai pasukan pilihan bagi aksi pembuka tirai Liga Malaysia itu yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Jumaat ini.

“Semua sedia maklum, JDT adalah sebuah pasukan yang mantap dan mempunyai pemain yang hampir sempurna di setiap posisi. Itu menjadikan banyak pihak memilih mereka sebagai pilihan utama untuk menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah bagi musim ini.

- Advertisement -

“Walau bagaimanapun, semua pemain kita akan melakukan yang terbaik dalam perlawanan nanti dan dari segi persiapan untuk perlawanan itu, ia sama sahaja seperti persiapan perlawanan-perlawanan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, lima aksi persahabatan yang dilalui KDA FC baru-baru ini juga sedikit sebanyak membantu mempersiapkan pasukan itu bagi menghadapi JDT dan saingan Liga Super musim ini.

“Sepanjang perlawanan persahabatan sebelum ini, kami dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap pemain dengan lebih jelas. Hanya pemain pertahanan Mohd Ariff Farhan Md Isa yang mengalami kecederaan manakala yang lain berada dalam keadaan baik,” katanya.

Sebelum ini, Kedah ditewaskan JDT sebanyak dua kali dalam dua perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau dikenali juga sebagai Piala Sumbangsih iaitu 1-2 pada 2018 dan 0-1 musim lepas. – BERNAMA

- Advertisement -