Jarum derma darah lebih besar berbanding vaksin

- Advertisement -

KANGAR: “Buat masa ini saya tak rasa apa-apa, semuanya berjalan lancar, pesan daripada jururawat mungkin ada rasa sakit sedikit di tempat cucuk.

“Jarum untuk derma darah di hospital lebih besar daripada jarum suntikan vaksin.. jadi penerima tidak perlu merasa gusar.

“Terbukti vaksin Covid-19 selamat, sebab itu kerajaan Malaysia menerima vaksin Pfizer-BioNTech untuk diberi kepada rakyat,” kata anggota Exco Teh Chai Ann selepas menerima suntikan vaksin Covid–19 di Klinik Kesihatan Kampung Gial di sini, hari ini.

Turut menerima suntikan vaksin sempena pelancaran program itu termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof, Ketua Polis Negeri Dato’ Surina Saad, Pengarah Jabatan Kesihatan Dr Sirajuddin Hashim dan Penyelia Klinik Kesihatan Kangar Muhamad Nadhar Nazari.

- Advertisement -

Proses vaksinasi untuk barisan hadapan di Perlis bermula pada 26 Februari lepas membabitkan 157 vaccinator dan petugas.

Teh Chai Ann yang juga Exco Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Kesihatan Perlis berharap rakyat Perlis mendaftar di Aplikasi My Sejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

Hari ini seramai 342 petugas kesihatan diberi vaksin iaitu 180 orang di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Klinik Kesihatan Beseri (108 orang) dan Klinik Kesihatan Felda Chuping (54 orang).

Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man pula berkata, program vaksinasi Covid-19 diadakan secara sukarela namun digalakkan bagi membentuk imuniti diri.

“Saya berharap rakyat Perlis merebut peluang dan mendapatkan suntikan vaksin di pusat-pusat pemberian vaksin yang ditetapkan.

“Program imunisasi merupakan satu langkah pencegahan melawan penularan Covid-19 yang akan memberi pelindungan daripada wabak.

“Bagaimanapun perlu amalkan normal baharu dengan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. Di Perlis sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk menerima vaksin menjelang Februari 2022,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -