Terengganu bakal buka pusat kanak-kanak terbiar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terengganu bakal membuka pusat kanak-kanak terbiar pada 15 Mac ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Beliau yang juga Adun Chukai berkata, ‘Raudhatul Jannah’ itu akan berpusat di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman.

Katanya, ia akan menempatkan kanak-kanak yang diabai, didera atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga, lapor portal TRDI.my, kelmarin.

Menurutnya, buat permulaan pihaknya akan mengambil seramai 20 lelaki dan 20 perempuan dalam usia lingkungan pelajar sekolah rendah yang bukan sahaja dalam kalangan anak Terengganu.

- Advertisement -
Hanafiah Mat

Ini kerana, ujarnya kes-kes serius seperti penderaan tidak berlaku dalam negeri sahaja, oleh itu pusat itu untuk seluruh negara, terutamanya ketika menghadapi tekanan hidup akibat kekangan pandemik Covid-19.

“Pengisian bagi mereka semasa di pusat ini akan menggunakan modul keagamaan,” katanya di Kuala Terengganu.

Hanafiah berkata, walaupun isu itu tidak terlalu serius di Terengganu, kerajaan negeri tetap memberi tumpuan terutamanya kepada mereka yang terbiar dan didera.

Berkenaan menyiapkan pusat tersebut, katanya, kos baik pulih dan kelengkapan prasarana melibatkan hampir RM600,000 dan jika dicampur kos operasi jumlahnya sekitar RM2 juta.

Tambahnya, pusat itu merupakan fasa pertama dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Amal.

“Jika fasa ini berjaya, maka kita akan lihat kepada keperluan untuk berkembang ke daerah lain,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2021

- Advertisement -