Puasa dan kesihatan

- Advertisement -

Pendahuluan

PUASA Ramadhan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadhan.

Hukum puasa Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Hal ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni dalam diri pelakunya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah: ayat 183)

Hadis Rasulullah s.a.w. ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al Baihaqi daripada Abu Hurairah, yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu, dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…”

- Advertisement -

Kelebihan bulan Ramadhan

Ustazah Dr Asiah Ali

Bulan Ramadhan ialah bulan yang penuh dengan keberkatan. Umat Islam mempercayai pada bulan Ramadhan, ada satu malam yang lebih baik dariapada seribu bulan iaitu Lailatul qadar atau Malam al Qadar.

Lailatulqadar atau malam Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadhan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Dipercayai sesiapa yang beramal pada malam tersebut, sama seperti beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun empat bulan.

Firman Allah SWT maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan ( Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengtahui apa dia kebesaran Malam Lailatu Qadar itu. Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadar: ayat 1-5)

Hubung kait puasa dengan kesihatan

Islam merupakan agama yang syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan. Ini termasuklah penjagaan daripada sudut kesihatan yang mana umat Islam amat menitikberatkan kesejahteraan tubuh badan sebagaimana Islam menjaga akal dan nyawa.

Kesihatan merupakan modal utama untuk bekerja, beribadah dan melaksanakan aktiviti lain. Bulan Ramadhan banyak mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat terutama jika diamalkan dengan sempurna dan penuh keinsafan. Ramadhan satu anugerah pada kita kerana mampu menaikkan taraf kesihatan masyarakat.

Puasa adalah penawar, kerana ia boleh merangsang perubahan-perubahan dalam metabolisme badan dan membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika puasa, organ-organ badan dapat rehat dan membantu buang segala kotoran dan toksin.

  1. Puasa memperbaiki komposisi dan kecergasan badan

Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, ada di antara kita yang berpuasa kerana berminat akan kesan puasa terhadap tisu lemak di badan dan pengurangan berat badan secara keseluruhan. Berpuasa menyumbang kepada komposisi badan yang lebih baik melalui pelbagai cara, terutamanya melalui tindakan hormon dan metabolisma lemak.

  1. Puasa meningkatkan tahap kekenyangan walaupun makan sedikit

Tisu lemak anda berfungsi sebagai sejenis organ endoktrin, menghasilkan beberapa jenis hormon. Salah satu daripadanya adalah leptin, yang memberi kesan kepada tahap kekenyangan anda. Dengan berpuasa, tahap leptin dalam badan menurun pada peringkat awal, namun apabila berat anda turut menurun, rintangan terhadap leptin juga berkurangan. Menjadi lebih responsif kepada leptin meningkatkan tahap kekenyangan anda.

  1. Puasa mengurangkan keradangan

Keradangan merupakan punca kepada banyak penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, angin ahmar, obesiti dan lain lain. Keradangan boleh disebabkan oleh banyak faktor, salah satu daripadanya adalah diet yang tidak sihat, seperti terproses (processed food).

Makanan terproses menghasilkan banyak radikal bebas dan kekurangan nutrien penting yang diperlukan oleh badan. Makanan yang mengandungi gula terproses (refined sugar), karbohidrat terproses, alkohol, tenusu dan makanan bergoreng boleh menyebabkan keradangan. Reaksi metabolik juga turut boleh menyebabkan keradangan. Berpuasa mengurangkan keradangan dengan cara memperbaiki keseimbangan hormon dan menyebabkan sel badan lebih berdaya tahan terhadap stres oksidatif. Beberapa kajian menunjukkan bahawa puasa boleh menurunkan tahap insulin serta memperbaiki sensitiviti insulin seterusnya mengurangkan keradangan.

  1. Puasa menyokong pembakaran lemak (ketosis)

Keadaan di mana badan menggunakan lemak sebagai bahan bakar, tercapai sama ada melalui berpuasa atau pengambilan makanan yang mengandungi lemak sihat seperti avocado, keju asli, telur, ikan yang berlemak seperti salmon, kekacang, biji chia, minyak zaitun, minyak kelapa dan lain lain lagi. Ketosis membantu badan membakar simpanan lemak pada organ seperti hati dan perut. Lemak berlebihan pada organ tersebut mengganggu fungsi organ berkenaan dan seterusnya sistem lain di dalam badan.

  1. Puasa menambahbaik kesihatan kardiovaskular

Berpuasa mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan kardiovaskular, terutamanya kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan sindrom metabolik. Berpuasa memperbaiki fungsi kardiovaskular, komposisi darah dan tekanan darah. Berpuasa turut baik untuk mereka yang menghidapi type dua diabetes (kencing manis) dan boleh menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

  1. Puasa mengurangkan tekanan darah

Ketika berpuasa, tekanan darah dalam badan manusia akan menurun pada peringkat awal, terutamanya dalam minggu pertama berpuasa. Tekanan darah rendah berlaku kerana pengurangan pengambilan garam secara mendadak dan peningkatan kehilangan garam melalui proses pelawasan (kencing).

  1. Puasa mengurangkan tahap gula dalam darah

Apabila berpuasa, akan menurunkan kadar hormon insulin dalam darah dan memperbaiki tahap sensitiviti sel terhadap insulin yang amat penting dalam mengawal selia kadar gula di dalam darah. Keadaan ini penting untuk mencegah dan mengawal penyakit kencing manis.

  1. Puasa memanjangkan umur

Kajian daripada seorang pemenang Hadiah Nobel pada tahun 2016, Profesor Yoshinori Ohsumi daripada Jepun menunjukkan berpuasa mencetus badan untuk menghapuskan sel-sel badan yang rosak, dan memperbaharui sel, proses yang dipanggil autophagy. Melalui kajian autophagy, Profesor Ohsumi berjaya mengesan gen yang mengawal proses ‘memakan diri sendiri’ ini yang berlaku apabila berpuasa. Proses ini penting untuk mencegah penyakit penyakit yang berkaitan dengan penuaan dan memanjangkan umur.

Kesimpulan

Islam mewajibkan umatnya untuk berpuasa pada bulan Ramadhan, serta menggalakkan mereka untuk turut berpuasa dua hari seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis pada lain-lain bulan. Ternyata berpuasa mempunyai kelebihannya yang tersendiri yang telah dapat dibuktikan oleh sains. – HARAKAHDAILY 28/2/2021

- Advertisement -