Bulan Rejab: Peristiwa dan amalan sunnah

PENGENALAN

Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh dalam tahun Hijrah dan memiliki keutamaan yang penting dalam Islam. Bulan ini juga dipanggil sebagai bulan Mikraj kerana pada bulan ini terdapat peristiwa Israk dan Mikraj. Oleh itu, agama Islam menuntut umatnya untuk menghidupkan bulan ini dengan amalan-amalan ibadat. 

Keutamaan bulan Rejab dan amalan yang wajar dilakukan dalam bulan ini boleh didapati melalui Hadis yang pelbagai. Bulan Rejab juga antara bulan yang dimuliakan oleh Islam dengan amalan sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan. Persediaan dalam menyambut bulan Ramadan dengan meningkatkan amalan pada bulan Rejab adalah amat membantu kepada pembentukan takwa seseorang Mukmin.

Advertisement

Keistimewaan bulan Rejab

Salah satu daripada keistimewaan bulan Rejab ialah bulan ini merupakan salah satu daripada bulan Haram dalam Islam. Bulan Haram bermaksud bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan Rejab. Bulan ini dihormati dalam agama Nabi Ibrahim A.S dan orang Arab amat memuliakan bulan ini dengan tidak dibenarkan untuk berperang dalam bulan ini. Hal ini sebagaimana Hadis yang dijelaskan oleh Nabi S.A.W seperti berikut :

عن أبي بكرة – رضي الله عنه – عن النبي – صلى الله عليه وسلم – قال: ((إن الزمان قد استدار كهيئته يوم خَلَق الله السموات والأرض، السنة: اثنا عشر شهرًا، منها أربعة حُرُم؛ ثلاثٌ متواليات: ذو القعدة، وذو الحجة، والمحرم، ورجب مُضر الذي بين جمادَى وشعبان))

“Abu Bakrah berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Zaman (masa) terus berjalan dari sejak awal penciptaan langit dan bumi. Satu tahun ada dua belas bulan antaranya ada empat bulan haram (suci), tiga bulan berurutan, iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam serta Rejab yang berada antara Jamadilakhir dan Syaaban.””


(al-Bukhari)

Masyarakat Arab sangat memuliakan bulan haram sekalipun dalam kehidupan mereka dipenuhi dengan kebodohan dalam penyembahan berhala. Mereka juga melarang sama sekali daripada berperang dalam bulan tersebut. 

Tatkala Islam datang, Islam masih lagi memuliakan bulan Haram dengan diberikan pahala yang besar bagi orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadat, tetapi Islam memansuhkan peperangan dalam bulan ini melalui firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 9.

Bulan Rejab juga merupakan bulan yang diiktiraf oleh Allah sebagai bulan Allah sebagaimana Hadis riwayat dari Aisyah R.A:

عن عائشة,قالت رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((ٳن رجب شهر الله))

“A’ishah R.A berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Rejab merupakan bulan Allah S.W.T.”


(al-Baihaqi)

Peristiwa bulan Rejab

Banyak peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah antaranya:

(1) Peristiwa Isra’ Mikraj.

Peristiwa agung 27 Rejab iaitu Baginda Rasulullah S.A.W telah diperjalankan oleh Allah dari Makkah ke Baitul Maqdis di waktu malam dan ketika itu juga sekali lagi dibelahnya dada Baginda Rasul S.A.W. Kemudian diangkatnya Baginda Rasul ke langit bertemu Allah, dan Allah telah memerintahkan kewajipan ibadah solat 5 waktu kepada umat Baginda Rasul.

(2) Penghijrahan pertama ke Habsyah.

Akibat ditekan oleh Musyrikin Makkah, para Sahabat mengadu kepada Baginda Rasulullah S.A.W, lalu Baginda Rasul menyarankan umat Islam berhijrah buat kali pertama ke Wilayah Habsyah walaupun Raja Habsyah ketika itu bukanlah seorang Muslim, namun Raja Habsyah seorang yang baik dan menjamin keselamatan orang Islam.

(3) Peperangan Tabuk.

Berlaku pada tahun 9 Hijrah, dan tiada pertempuran apabila tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan serta kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi sebarang kesukaran, menempuh musim panas, terik, serta lokasi Tabuk yang sangat jauh (di antara Hijjaz dan Syam).

(4) Imam Syafie meninggal dunia.

Beliau merupakan salah seorang dari empat imam mazhab besar dalam dunia feqah dan pengasas kepada Mazhab Syafie. Beliau berasal dari Gaza dan dilahirkan juga pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan tahun pemergian Imam Abu Hanifah.

(5) Pembebasan kedua Baitul Maqdis.

Tentera Islam yang dipimpin oleh Solahuddin Al-Ayubi telah Berjaya menawan kembali Baitul Maqdis kali kedua (583 Hijrah) menewaskan tentera Salib yang menjajah kawasan tersebut selepas pembukaan pertama oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A.

Amalan sunnah di bulan Rejab

keutamaan bulan Rejab, ianya terdapat beberapa amalan yang dituntut untuk dilakukan pada bulan Rejab ini. Ringkasnya, terdapat beberapa amalan sunat yang dituntut untuk diperbanyakkan pada bulan Rejab ini, iaitu menghidupkan dengan Qiamullail seperti solat sunnah, membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, berselawat ke atas Nabi S.A.W, dan berdoa. Manakala siang hari bulan Rejab pula dituntut untuk berpuasa dan bersedekah. Pada asasnya semua amalan ini boleh dihidupkan di sepanjang bulan Rejab.

Seseorang boleh mengamalkan kesemua amalan ini dan tidak menentukan bahawa mesti dilakukan pada bulan Rejab dan apa yang lebih penting amalan tersebut semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Bagi tujuan mengamalkan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya meningkatkan amal soleh dan sebagai bekalan menuju Allah S.W.T.

Kesimpulan

Terbukti bahawa bulan Rejab merupakan bulan Haram yang merupakan bulan Allah S.W.T. Selaku hamba-Nya, umat Islam wajar membesarkan bulan ini dengan amalan yang dianjurkan dalam Islam untuk mengambil keberkatan.

Ringkasnya, seseorang Muslim boleh memilih untuk beramal mengikut kemampuan mereka masing-masing dengan mengusahakan semaksimum mungkin bagi mendapatkan keberkatan serta keredhaan dari Allah S.W.T dengan memperbanyakkan ibadah. 

Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi S.A.W apabila memasuki bulan Rejab, maka Baginda mengatakan: 

” “اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

“Ya Allah, berkatilah kami di Rejab dan Syaaban dan berkatilah kami di bulan Ramadan).”

(Al-Bazzar, al-Tabrani, dan al-Bayhaqi)

Justeru, selaku hamba yang taat dan sebagai persediaan untuk menuju kepada bulan Ramadan yang bakal tiba, maka wajar bulan ini dihidupkan dengan amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. Wallahu A’lam.

USTAZ HAJI KHIRUL MUNTANAZAR ISMAIL
Naib Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat
Timbalan Ketua
Dewan Ulamak PAS Negeri Johor
Yang DiPertua
PAS Kawasan Tebrau – HARAKAHDAILY 20/2/2021