Tingkatkan amalan di bulan Rejab

(Edisi ULANG SIAR)

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, kita berada dalam bulan Rejab. Salah satu bulan Islam yang dihormati, sebagaimana firman Allah:

- Advertisement -

إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ 

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, yang telah ditetapkan di dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan yang dihormati. Inilah ketetapan agama Islam yang benar. Maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu dengan melanggar laranganNya.”

[al-Taubah:36]

Ibn Abbas mengatakan: Setiap maksiat yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, setiap amal soleh yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram, maka pahalanya lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. [Tafsir Ibn Kathir] 

Apakah bulan-bulan Haram?

Bulan Haram ini terdiri daripada empat bulan di dalam Islam iaitu Zul Kaedah, Zul Hijjah, Muharram dan Rejab. Berdasarkan Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

“Waktu itu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah S.W.T menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul Kaedah, Zul Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.”

[Riwayat al-Bukhari]

Apakah makna Rejab?

Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana orang-orang kafir Makkah mengagungkan bulan ini ketika zaman Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya.

Hadis-hadis yang tidak sahih berkaitan bulan Rejab

1. Dikatakan bahawa Nabi S.A.W bersabda:

فَضْلُ شَهْرِ رَجَبٍ عَلَى الشُّهُورِ كَفَضْلِ الْقُرْآنِ عَلَى سَائِرِ الْكَلَامِ

“Kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan lain adalah seperti kelebihan al-Qur’an berbanding semua jenis kalam.”

Hadis ini palsu dan ini juga merupakan pendapat Imam Ibn Hajar di dalam al-Tabyin. [Kasyf al-Khafa’]

2. Dikatakan bahawa Nabi S.A.W bersabda:

لَا تَغْفَلُوا عَنْ أَوَّلِ جُمُعَةٍ مِنْ رَجَبٍ فَإِنَّهَا لَيْلَةٌ تُسَمِّيهَا المَلَائِكَةُ الرَّغَائِب

“Janganlah kamu lalai pada Jumaat yang pertama daripada bulan Rejab kerana sesungguhnya terdapat padanya satu malam yang dinamakan oleh malaikat sebagai al-Raghaib.”

Hadis ini dusta keseluruhannya menurut Ibn al-Qayyim. [al-Manar al-Munif]

3. Dikatakan bahawa Nabi S.A.W bersabda:

إِنَّ فِيْ الجَنَّةِ نَهْرًا يُقَالُ لَهُ رَجَب مَاؤُهُ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ وَأَحْلَى مِنَ العَسَلِ، مَنْ صَامَ يَوْمًا مِنْ رَجَب سَقَاهُ اللهُ مِنْ ذَلِكَ النَّهْرِ

“Bahawasanya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai tersebut.”

Hadis ini bathil menurut Imam al-Zahabi. [Mizan al-Mu’tadil]

4. Dikatakan bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ صَامَ أَوَّلَ يَوْمٍ مِنْ رَجَبٍ يَعْدِلُ ذَلِكَ بِصِيَامِ سَنَةٍ ، وَمَنْ صَامَ سَبْعَةَ أَيَّامٍ أُغْلِقَ عَنْهُ سَبْعَةُ أَبْوَابِ النَّارِ ، وَمَنْ صَامَ مِنْ رَجَبٍ عَشْرَةَ أَيَّامٍ نَادَىْ مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ أَنْ سَلْ تُعْطَهْ

“Barangsiapa yang berpuasa pada hari pertama bulan Rejab umpama berpuasa setahun, barangsiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka dan barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rejab sepuluh hari diseru daripada penyeru dari langit bahawa mintalah lalu diberikan apa yang diminta.”

Hadis ini bathil dan tiada asal baginya menurut Imam al-Syaukani. [al-Fath al-Rabbani]

Fatwa ulamak berkaitan puasa Rejab

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah mengatakan bahawa jumhur ulamak daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Syafieyyah mengatakan sunat berpuasa pada bulan-bulan Haram. Ini kerana, mereka berdalilkan dengan sebuah Hadis daripada Imam Muslim:

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، صِيَامُ شَهْرِ اللهِ الْمُحَرَّمِ

“Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadan adalah puasa pada bulan Allah al-Muharram.”

[Riwayat Muslim]

Hukum puasa tiga bulan secara berterusan

Dalam masalah ini, Syeikh Athiyyah Shaqar berpendapat bahawa berpuasa penuh pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan tidak ada dalil yang menghalangnya. [Ahsan al-Kalam] 

Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan: Puasa 3 bulan berturut-turut iaitu berpuasa penuh pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan diamalkan oleh para solehin dan ia tidak bercanggah selama mana dia mampu untuk melakukannya dengan tidak beri’tiqad bahawa ia adalah sunnah. 

Dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh mengatakan bahawa orang yang tidak berpuasa itu tidak beramal dengan sunnah.

Amalan-amalan soleh yang biasa dilakukan, hendaklah ditingkatkan dan diperbanyakkan pada bulan Rejab, seperti puasa sunat, baca Quran, sedekah, zikir, solat sunat, bangun malam dan lain-lain, kerana ia bulan Haram atau Suci berpahala besar. 

Ini semua adalah persiapan awal sebelum menjelang Ramadan yang mulia. Marilah sama-sama kita berdoa:

‌اللهُمَّ ‌بَارِكْ ‌لَنَا ‌فِي ‌رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

“Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban, dan panjangkan umur kami sehingga bulan Ramadan.”

YB USTAZ SHAHRIL AZMAN ABD HALIM AL-HAFIZ
ADUN Jengka – HARAKAHDAILY 8/2/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=304984188316783&set=a.223978183084051&type=3

- Advertisement -