Penentuan nasib pelajar SPM minggu hadapan

- Advertisement -

ARAU: Minggu hadapan ribuan pelajar akan menentukan nasib masa hadapan mereka apabila menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 22 Februari ini.

- Advertisement -

Namun situasi yang dihadapi mereka berbeza berbanding rakan-rakan lain sebelum ini kerana terpaksa belajar secara atas talian disebabkan pandemik Covid-19.

Malah mereka sepatutnya menduduki peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akhir tahun lepas, namun disebabkan wabak, peperiksaan tersebut ditangguh.

Sesi persekolahan 2020 dan 2021 ternyata begitu mencabar bagi pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM.

Kesukaran yang dihadapi golongan pelajar terbabit turut mendapat perhatian Persatuan Cakna Wanita Arau (Perwana) dan Dewan Muslimat PAS Arau.

Mereka tampil mengagihkan pelitup muka kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM di 11 sekolah di daerah tersebut hari ini.

Pengerusi Perwana, Sarina Md Desa berkata semoga pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM 22 Februari ini dapat menghadapi dengan tenang.

“Kami turut merakamkan jutaan terima kasih kepada penyumbang yang memberi sumbangan untuk menjayakan gerakan Perwana,” katanya pada program berkenaan.

Perwana dan Dewan Muslimat PAS Arau mengagihkan sumbangan itu termasuk kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau, Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (Madi), Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajudin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang.

Perwana ditubuh untuk menjaga dan mengambil tahu hal ehwal kebajikan wanita khasnya di Arau.

Pada 20 Januari lepas, kerajaan membenarkan pelajar Tingkatan 5 tahun 2020 hadir ke sekolah sebagai persediaan menduduki peperiksaan.

Bagaimanapun kelas secara bersemuka berakhir Selasa lepas. Pelajar diberi peluang belajar di rumah sebelum menduduki peperiksaan minggu hadapan. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -