Hargai pengorbanan petugas makmal kesihatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Makmal Kesihatan Awam Kota Bharu merupakan salah sebuah Makmal Kesihatan Awam yang dibina untuk memantapkan aktiviti pemantauan penyakit berjangkit.

Sejak penyerahan bangunan Makmal Kesihatan Awam dilakukan pada Julai 2010, makmal itu semakin berkembang dengan pertambahan ujian-ujian baharu, selain terlibat dengan pelbagai aktiviti Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini makmal tersebut tidak menang tangan bagi membuat ujian sampel pesakit.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin turut meninjau dari dekat fungsi makmal terbabit.

Katanya, kerajaan negeri menghargai jasa, perjuangan dan pengorbanan petugas di makmal terbabit yang bekerja tanpa mengira penat dan lelah sejak setahun lalu.

“Mereka bekerja bagi memastikan ibu pertiwi bebas daripada ancaman virus Covid-19,” katanya ketika melawat makmal tersebut, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan negeri, Dato’ Dr Zaini Hussin dan Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Hilmi Abdullah.

Sempena lawatan itu beliau memberi sumbangan lima komputer riba bagi memudahkan urusan kerja kakitangan menguruskan perkara berkaitan dengan kes Covid-19.

Selain itu, turut disumbang mesin mengurut badan bagi kegunaan petugas di makmal terbabit.

Kepentingan Makmal Kesihatan Awam itu sebagai pusat rujukan atau latihan bagi aktiviti makmal penyakit dan makmal makanan di peringkat Zon Timur. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -