Gejala Sugar Baby: Mana perginya suara pemimpin PH?

- Advertisement -

TAHNIAH kepada mereka yang telah beramai-ramai membuat laporan polis ke atas penaja utama aktiviti Sugar Baby di negara ini, iaitu Darren Chan, dan syarikatnya, Sugarbook, khususnya wakil-wakil Dewan Muslimat PAS Malaysia di seluruh negara yang kesungguhan mereka ditunjukkan melalui tindakan Ketuanya, Senator Hajah Nuridah Mohd Salleh, Timbalan Ketuanya, Dr Rosni Adam, dan Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad, yang membuat laporan polis di Balai Sentul, Balai Salak Selatan dan Balai Bota, Perak.

Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin politik, khususnya pemimpin-pemimpin PAS yang diketuai oleh Naib Presidennya, Senator Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemudanya, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, serta ramai lagi pemimpinnya dari pelbagai dewan dan peringkat, termasuklah juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary, dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Amzad Hashim, yang bersuara lantang mahukan Sugarbook diharamkan dari negara kita.

- Advertisement -

Alhamdulillah, PDRM melalui Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, juga kelihatan memandang serius perkara ini di mana beliau dilapor oleh media sebagai mengarahkan Bahagian (D3) Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman membuat siasatan mengikut Seksyen 372 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, selain mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia ke atas Sugarbook.

Begitu juga dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dato’ Dr Husaini Omar, yang menyatakan KPT memandang serius pendedahan mengenai peningkatan mendadak bilangan pelajar universiti yang terlibat dalam perkhidmatan Sugar Baby dan berjanji akan menangani isu ini dengan lebih berkesan di mana pihak universiti yang terlibat, khususnya IPTA seperti UM dan UiTM, akan menjalankan semakan dalaman secara terperinci bagi memastikan apa yang dilaporkan dapat ditangani sebaik-baiknya.

Begitu juga dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang melalui Jabatan Komunikasi Korporatnya menyatakan MCMC mengambil berat dakwaan semakin ramai wanita Malaysia, terutamanya penuntut universiti, menawarkan diri sebagai Sugar Baby di laman aplikasi Sugarbook dan berjanji akan terus memantau dan menyiasat bersama PDRM aplikasi Sugarbook serta akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini.

Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh semua pihak selaras dengan kewajipan kita semua untuk mencegah kemungkaran sebagaimana yang dianjurkan dalam sebuah Hadis yang berbunyi:

«مَن رَأى مِنكُم مُنكَرَاً فَليُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِقَلبِه وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإيمَانِ»

“Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya (kuasanya), jika dia tidak berkemampuan maka hendaklah dia mencegah dengan lisannya, jika dia tidak juga berkemampuan maka hendaklah dia mencegah dengan hatinya, dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” 

[Riwayat Muslim]

Namun begitu, amat dikesalkan bila tiada suara pemimpin-pemimpin dari PAN, DAP dan PKR, khususnya yang beragama Islam, yang bangkit menyuarakan kebimbangan ke atas peningkatan mendadak bilangan pelajar universiti yang terlibat dalam perkhidmatan Sugar Baby ini seolah-olah ia adalah satu perkara normal kepada mereka sedangkan mereka pada masa yang sama mengaku berjuang mahu memartabatkan golongan wanita dan golongan pelajar. Mengapa mereka yang pernah memegang jawatan di Kementerian Agama, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Wanita khususnya, begitu juga dengan pelbagai NGO wanita, langsung tidak bersuara dalam soal ini?

Masa sama, kita mengharapkan agar Mufti-mufti dan Majlis-majlis Fatwa akan bingkas menyelamatkan umat dengan segera membuat keputusan hukum ke atas penggunaan aplikasi yang menyediakan khidmat Sugar Baby dan Sugar Daddy ini tatkala jelas kepada kita penzinaan dan pelacuran adalah diharamkan oleh agama, aplikasi seperti Sugarbook membuka ruang kepada penzinaan dan pelacuran serta kaedah fiqh jelas mengharamkan perkara yang menjadi wasilah kepada perkara haram.

Ini kerana sangat jelas kepada sesiapa yang melawati laman web Sugarbook bahawa ia adalah laman web yang bertemakan kepada seks di mana, selain mentakrifkan Sugar Baby sebagai wanita muda yang menukarkan penemanan, persahabatan dan seks untuk wang, hadiah dan pemanjaan daripada lelaki tua kaya, laman web Sugarbook ini juga ada menyediakan panduan terperinci kepada Sugar Baby-nya untuk melakukan hubungan seks dengan pelbagai posisi pelik.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 15/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -