Elak pelajar luar bandar ketinggalan

- Advertisement -

PENINGKATAN penggunaan gajet berlaku secara mendadak sejak pandemik terutama apabila keperluan mendesak untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Apabila segalanya perlu diteruskan tetapi dalam bentuk atas talian, apa lagi pilihan yang kita ada selain mengikut arus keperluan dan perubahan tersebut.

- Advertisement -

Hari ini, hampir setiap daripada kita mempunyai dan menggunakan telefon pintar untuk menyelesaikan banyak urusan terutama dalam era yang dikenali sebagai era digital ini.

Meskipun perkembangan ini selari dengan Revolusi Industri 4.0 dan banyak impak positif, tidak dinafikan bahawa terdapat pelbagai cabaran perlu ditempuhi para pelajar untuk menyesuaikan diri dengan situasi dan keperluan semasa.

Ada segelintir pelajar di pedalaman, tiada akses capaian internet yang sempurna serta tidak mempunyai aksesori sokongan untuk mengikuti pembelajaran secara digital.

Data penggunaan internet oleh Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) menunjukkan pengguna telefon pintar direkodkan pengguna yang tinggi, namun ia tidak menggambarkan tahap pembangunan yang maksimum.

Pengguna dari desa hanyalah 24.4 peratus daripada keseluruhan pengguna internet daripada pelbagai jenis peranti, jauh lebih rendah daripada pengguna dari kawasan bandar iaitu 75.6 peratus.

Keadaan ini agak menakutkan dengan hanya 47 peratus pengguna yang berumur 5 tahun sehingga 17 tahun yang mengakses internet melalui pelbagai peranti.

Ini bermakna, lebih separuh dari pengguna yang berumur 5 hingga 17 tahun tidak menggunakan internet.

Ini memberi indikasi tertentu terhadap Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR). Golongan berumur 5 hingga 17 tahun boleh dikatakan sangat terkesan dengan penularan Covid-19 kerana mereka adalah golongan yang sedang menjalani pembelajaran sepenuh masa.

Apabila segalanya berjalan dalam talian dan golongan ini pula adalah kelompok yang rendah penggunaan internetnya, maka mereka boleh tergolong dalam kumpulan yang digelar miskin digital.

Usaha membasmi kemiskinan digital ini perlu dimulakan dari sekarang.

Di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia, tumpuan diberikan ke arah merealisasikan kemakmuran bersama melalui pendidikan.

Pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama mempercepatkan lagi proses penyediaan taraf hidup yang wajar menjelang tahun 2030 terutama dalam usaha menangani jurang kekayaaan dan pendapatan antara rakyat supaya tiada yang ketinggalan dan terus-terusan miskin (fizikal dan digital).

Bersama-samalah kita membasmi kemiskinan ini agar pelajar kita kekal berpeluang membangunkan diri untuk kelestarian bangsa dan negara.

ABDUL HADI OMAR
COO Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA) – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -