Cenderahati tanda ingatan kepada semua kaum

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sentiasa ingat kepada masyarakat pelbagai kaum di negeri ini termasuk Tahun Baru Cina.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerana menghargai mereka, sumbangan dilakukan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Kelantan.

Menurutnya, setiap wakil rakyat di seluruh Kelantan akan menyantuni mereka dengan menghulurkan cenderahati tanda ingat pada tahun baru masyarakat mereka.

- Advertisement -

“Banyak acara yang kerajaan Kelantan terpaksa batalkan atau tunda berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak penularan Covid-19.

“Apa lagi program yang melibatkan perhimpunan atau jumlah yang besar kita terpaksa batalkan. Tetapi kita tetap tidak lupa pada mereka,” ujarnya pada program penyampaian cenderahati kepada 50 orang masyarakat Cina di Kampung Sering, sempena Tahun Baru Cina dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary dan isteri Datin Pg Siti Radziah Pg Abdullah.

Terdahulu ketika menyampaikan sumbangan serupa di Kampung Penambang, Marzuk berkata, sebanyak RM30,000 disediakan untuk sumbangan bakul makanan sempena Tahun Baru Cina dalam Parlimen Pengkalan Chepa.

Menurutnya, seramai 100 orang penerima telah menyediakan sumbangan berkenaan secara ‘drive thru’ di Kampung Penambang.

Katanya, manakala seramai 50 orang lagi dari Kampung Tebing Tinggi, Sabak dan Pulau Gajah menerima sumbangan serupa.

Jelasnya, sumbangan berkenaan sebagai tanda ingat sempena tahun baru tahun ini.

“Kita faham sempena perayaan tahun ini keluarga terdekat tidak dapat pulang berhari raya, malah penuh dengan pematuhan demi mengelak penularan Covid-19.

“Bagaimanapun menerusi hubungan terkini yang tanpa sempadan anggota keluarga dapat berhubung melalui video call atau seumpamanya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/2/2021

- Advertisement -