Atlet handalan berkampung di Kelantan 2026

- Advertisement -

KOTA BHARU: Setelah kira-kira 30 tahun terpinggir daripada menjadi tuan rumah acara sukan peringkat kebangsaan, akhirnya kemarau itu bakal berakhir tidak lama lagi.

Lima tahun lagi Kelantan akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal menjadi lokasi atlet hadalan dari seluruh negara berkampung sempena temasya tersebut.

Berikutan itu kerajaan negeri merancang membina kompleks sukan tertutup, kompleks sukan renang, sukan menembak dan velodrom.

- Advertisement -

Kompleks sukan yang dinamakan Madinatul Riyadah akan dibina di Bukit Merbau Selising, Pasir Puteh. Kos keseluruhan projek prasrana sukan dianggar membabitkan peruntukan kira-kira RM600 juta.

Bagaimanapun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta kos tersebut dikurang sedikit dengan mengambil kira situasi ekonomi sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melulus peruntukan RM10 juta bagi membina kompleks sukan di Jeli.

Katanya, kompleks sukan itu dijangka boleh memuatkan 1,000 penonton dijadual kerja-kerja pembinaan bermula akhir tahun ini.

“Kompleks sukan akan dibina di kawasan seluas hampir 8 ekar membabitkan padang bola sepak, tempat duduk penonton, padang tenis, trek olahraga dan dewan tertutup.

“Ia dijangka siap pada 2023 sebagai persiapan Kelantan untuk menganjurkan SUKMA pada 2026. Jeli antara satu lokasi untuk sukan berbasikal,” katanya ketika dihubungi di sini.

Malah bersebelahan kompleks sukan itu turut dirancang tapak pembinaan velodrome berbasikal bertaraf antarabangsa.

Menurutnya juga kompleks sukan terbabit dibina tidak jauh dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi membolehkan prasarana yang terdapat di kampus Jeli dimanfaatkan atlet.

SUKMA seperti yang dipersetujui sebelum ini sepatutnya diadakan di Kelantan pada 2024, namun terpaksa ditunda ekoran pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -