Sambut Tahun Baru Cina dengan baju lama

Photo by Thomas Despeyroux on Unsplash
- Advertisement -

KANGAR: Tahun lepas umat Islam tidak dapat mengimarahkan ibadat tarawih di masjid akibat pandemik Covid-19.

Namun wabak itu belum nampak tanda-tanda akan pulih, sehingga menyebabkan masyarakat Cina pula terpaksa menyambut Tahun Baru dalam suasana normal baharu.

Sedangkan Tahun Baru Cina hanya beberapa lagi akan disambut. Namun suasana masih lagi hambar dan tidak meriah.

- Advertisement -

Hakikat itu turut dirasai Terry Kang, 40 dari Pauh, Arau yang menyifatkan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini tidak lagi semeriah dahulu.

Terry Kang

Malah kata beliau semuanya berlaku dengan keadaan yang sederhana.

“Sambutan tidak semeriah tahun-tahun lepas, anak-anak saudara yang tinggal luar dari Perlis semuanya tidak dapat pulang.

“Nak ziarahi rumah kawan pun tidak boleh, jadi sambutan dalam kalangan ahli keluarga di rumah sahaja.

“Mengenai persiapan baju raya pula saya hanya memakai baju tahun lepas sahaja. Kedai menjual pakaian pun banyak yang tidak buka,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau yang merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik memberitahu sambutan kurang meriah kerana ahli keluarga yang berada di luar Perlis tidak dapat pulang ke kampung.

Oleh itu, Terry Kang mendoakan agar pandemik Covid-19 segera berlalu dan kehidupan akan kembali seperti biasa.

Gee Hui Lan, 29 dari Bintong Kangar pula berkata persiapan sambutan Tahun Baru Cina tetap dilakukan termasuk membeli kuih raya, baju raya dan limau.

Gee Hui Lan

Katanya hanya beliau, seorang kakak dan ibu bapa sahaja yang ada di rumah.

“Adik beradik lain semuanya tidak dapat pulang ke kampung, jadi kami akan menyambut melalui alam maya sahaja,” katanya yang merupakan anak bongsu dari lima adik beradik.

Bagi mengekang penularan wabak Covid-19, Kementerian Perpaduan Negara menetapkan tradisi makan besar keluarga pada 11 Februari ini hanya boleh dihadiri tidak melebihi 15 ahli keluarga sahaja. – HARAKAHDAILY 8/2/2021

- Advertisement -