PRISMA: 9,000 penggiat kreatif bakal terima manfaat

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Lebih 9,000 penggiat dan pemain industri kreatif bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) berjumlah RM89.2 juta, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, PRISMA adalah langkah jangka pendek yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat dan pemain industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik Covid-19.

- Advertisement -

PRISMA memberi fokus kepada tiga strategi utama iaitu memudah cara pembiayaan penghasilan kandungan kreatif; mengupayakan kapasiti dan kemahiran penggiat industri kreatif dan menyediakan akses pasaran bagi produk kreatif tempatan, katanya.

“Bagi tujuan tersebut, sejumlah RM89.2 juta disediakan di bawah peruntukan sedia ada KKMM untuk melaksanakan 32 program yang merangkumi empat kategori iaitu filem, muzik, kandungan kreatif digital dan seni visual, persembahan serta kraf,” katanya ketika melancarkan PRISMA secara maya hari ini.

Sebanyak RM67.7 juta daripada peruntukan itu merupakan program berbentuk pemberian geran, RM9 juta berbentuk pinjaman dan RM12.5 juta berbentuk slot siaran, katanya.

“Secara purata 60 peratus daripada keseluruhan 32 program telah ditambah baik daripada segi penyeragaman prosedur dan proses permohonan, memendekkan norma masa dan memudahkan cara proses serta kaedah penyaluran peruntukan,” katanya.

Saifuddin berkata program yang dirancang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai hari ini sehingga Jun dan maklumat lanjut mengenai PRISMA boleh diperolehi menerusi laman web www.kkmm.gov.my.

“Walaupun matlamat utama membantu golongan seni ketika musim pandemik, proses penilaian untuk menyalurkan peruntukan tersebut tetap dilakukan bagi memastikan kualiti dan nilai seni yang dihasilkan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, KKMM sedang menyusun sistem penilaian yang komprehensif untuk semua kegiatan industri kreatif di bawah fasilitasi kementerian kerana setiap cabang seni mempunyai kaedah penilaian yang berbeza.

Beliau juga berkata, sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan melalui pelaksanaan program-program di bawah inisiatif pakej rangsangan PRISMA itu. – BERNAMA

- Advertisement -