Sokong naikkan kompaun langgar SOP

Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menyokong cadangan pindaan Akta 342 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 untuk menaikkan kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, pelaksanaan cadangan menerusi pindaan Akta 342 itu bertepatan dengan keperluan semasa termasuk jumlah kompaun maksimum sedia ada iaitu RM1,000 di bawah akta berkenaan.

“Saya bersetuju nilai kompaun dinaikkan, kita bukan nak kompaunkan rakyat (menyusahkan rakyat) tetapi untuk menimbulkan rasa tanggungjawab kepada mereka dalam usaha melandaikan (lekuk jangkitan) kes Covid-19 di negara ini,” katanya.

- Advertisement -

Tambah beliau, walaupun kes harian Covid-19 di Kelantan menunjukkan trend penurunan, pihaknya mendapati kepatuhan masyarakat terhadap SOP masih kurang.

Oleh itu, beliau menyeru rakyat mematuhi SOP supaya wabak itu dapat dikawal, sekali gus memulihkan kegiatan ekonomi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Info On Wheels Kempen Pematuhan SOP Covid-19 di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan bagi menaikkan nilai kompaun pesalah yang mengingkari SOP PKP.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah ketika meninjau Pusat Kuarantun Risiko Rendah di Putik memberitahu pihaknya sudah menghantar cadangan bagi menaikkan kompaun terhadap perlanggaran SOP kepada Peguam Negara. – HARAKAHDAILY 3/2/2021

- Advertisement -