Adun taja sarapan pagi pelajar duduki peperiksaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pusat Khidmat DUN Pasir Tumboh akan menyediakan sarapan kepada 150 orang pelajar Maahad Taqaddum Maarif Pasir Tumboh bermula esok.

Adunnya, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata sumbangan berupa sarapan itu akan dibekalkan kepada calon-calon tiga peperiksaan sekolah berkenaan.

Menurutnya, sumbangan berkenaan diberi bagi meringankan bebanan ibubapa pelajar terutama ketika Covid-19 melanda negara dan dunia sekarang.

“Kita faham ada ibubapa yang tidak sempat menyediakan sarapan untuk anak-anak mereka ke sekolah.

- Advertisement -

“Ada pula yang tidak berkemampuan kerana desakan kewangan. Jadi kami berusaha sedaya mungkin membantu mereka,” ujarnya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pengurusan sekolah terbabit hari ini.

Abdul Rahman memberitahu, inisiatif berkenaan disediakan memandangkan banyak kedai makan ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Kata beliau makanan yang disediakan itu boleh dimakan di kantin atau dalam kelas dengan penjarakan fizikal.

Terdapat seramai 300 pelajar Maahad Taqaddum Maarif yang akan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tidak lama lagi.

Bagaimanapun kata beliau separuh daripada pelajar terbabit dipilih berdasar kesukaran keluarga mereka akibat PKP.

Menurutnya juga sumbangan berkenaan julungkali pernah diadakan dan ia akan berakhir sehingga peperiksaan berakhir.

Sementara itu, Mudir Maahad berkenaan, Ustaz Zulkifli Husain berkata, kehadiran pelajar mencapai 90 peratus pada satu-satu masa.

Beliau bersyukur kerana sebahagian pelajar bersemangat untuk mengikuti pengajian terutama calon peperiksaan.

Beliau memberitahu, motivasi kepada pelajar sering diberikan oleh guru-guru memandangkan sekolah ditutup dalam tempoh lama sebelum ini akibat Covid-19. – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -