Kenangan: Ummi sentiasa peluk ‘bantal busuk’ Amir

- Advertisement -

JASIN: Jenazah Adik Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek yang meninggal dunia pada 29 Januari lepas telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Lebar, Simpang Bekoh, di sini, pagi tadi.

Jenazah yang dibawa dengan sebuah kenderaan jenazah tiba di pekarangan Madrasah Asy-Syakirin Simpang Bekoh kira-kira jam 11 pagi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Hanya 40 orang jemaah dibenarkan untuk menyertai upacara solat jenazah yang telah diimamkan oleh abang angkat kepada Almarhum Adik Amir, Darwis Tarmidi.

- Advertisement -

Upacara solat jenazah ini turut dipantau oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selain penjarakan fizikal.

Wartawan yang hadir hanya dapat membuat liputan dari luar pagar tanah perkuburan atas permintaan keluarga kandung almarhum yang tidak mengizinkan untuk membuat liputan dari dekat.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Melaka, Muhamat Puhat Bedol, Adun Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad, AJK Badan Perhubungan PAS Melaka, Zainudin Latif, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Suhaimi Haron dan Setiausaha PAS Kawasan Jasin, Kamarulzaman Ahmad.

Amir meninggal dunia dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya ketika tinggal bersama mereka di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya.

Sementara itu, keluarga angkat Adik Amir yang hadir dari Rawang, Selangor sebelum itu turut membuat permohonan untuk menguruskan jenazah almarhum dan mengebumikan jenazah itu di Rawang, namun gagal mendapat persetujuan daripada keluarga kandung almarhum.

Kakak angkat Almarhum Adik Amir, Tuhfah Nazihah Tarmidi ketika ditemui wartawan berkata mereka sekeluarga akur dengan keputusan keluarga kandung almarhum yang mahu jenazah dikebumikan di Melaka.

“Pada kami, kami sekeluarga terpaksa akur dengan keputusan belah pihak keluarga kandung Amir, kami terpaksa terima.

“Walau pun kami dah minta, kami dah berbincang, tapi tak diberi keizinan. So, kami terpaksa terima dengan hati yang terbuka,” ujar beliau.

Menurut Tuhfah, ibunya, Norlida Abu Hassan yang merupakan ibu angkat Amir, juga akur dengan keputusan itu dan percaya ia akan memberi kebaikan kepada almarhum sendiri.

Katanya lagi, ibunya yang lebih mesra disapa Ummi sentiasa memeluk ‘bantal busuk’ yang pernah digunakan oleh almarhum semasa tinggal bersama-sama dengan mereka yang kini menjadi tanda kenangan.

“Bantal busuk tu memang Amir punya bantal. Kalau dia nak tidur tak ada bantal tu memang tak boleh (tidur), dia akan cari.

“Amir dia punya ‘fiil’ dia akan hisap jari dia dengan bantal peluk. Bantal peluk tulah yang dia bawa ke mana-mana dengan Ummi,” ujar beliau lagi.

Mengimbau pengalaman menjaga almarhum, Tuhfah menyifatkan Amir yang mesra dengan panggilan ‘adik’ adalah seorang yang sangat senang dijaga dan mendengar cakap.

“Semua orang senang dengan Amir,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 1/2/2021

- Advertisement -