Hari Wilayah: Tema ‘Wilayah Prihatin’ amat wajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tahun 2021 menandakan usia Wilayah Persekutuan sudah menginjak 47 tahun sejak ianya diwartakan secara rasmi pada 1 Februari 1974.

“Tema yang dipilih untuk sambutan kali ini iaitu ‘Wilayah Prihatin’ amatlah wajar sejak konsep berkenaan dipupuk bermula daripada kita berdepan dengan pandemik yang cukup mencabar khususnya pada ketika ini,” ujar Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP), Ustaz Azhar Yahya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ke-47.

Katanya, BPPWP sangat menyambut baik perancangan sambutan hari bersejarah itu oleh Kementerian Wilayah Persekutuan diketuai Menterinya, Tan Sri Annuar Musa serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

- Advertisement -

Menurutnya, program-program yang disusun walaupun perlu mematuhi norma baharu, namun banyak menerapkan elemen-elemen yang bermanfaat seperti Yasin Hour, Wilayah Persekutuan Bermunajat dan juga Forum Perdana selama lapan hari berturut-turut.

Beliau berharap, semoga dengan usaha baik itu dapat menyatupadukan warga Wilayah Persekutuan dalam ketaqwaan serta menjemput rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T sejajar firman-Nya dalam Surah Al-A’raf ayat ke 96 yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.

“Pada kesempatan ini juga, BPPWP menyeru seluruh warga Wilayah terutamanya untuk mematuhi SOP Covid-19 sebaik mungkin berikutan situasi terkini yang membimbangkan dan negeri kita ini juga mencatatkan antara kes tertinggi.

“Semoga Allah memelihara kita semua daripada wabak ini, menyembuhkan semua yang dijangkiti serta merahmati semua yang telah kembali ke rahmatullah akibat pandemik ini,” katanya.

Akhirnya, kata beliau BPPWP serta seluruh saf kepimpinan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan kali ke-47 pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 31/1/2021

- Advertisement -