Pemerkasaan Syariah: Dakwah ke arah bina umah solehah

nasrudin2
- Advertisement -

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melihat usaha kerajaan untuk meminda undang-undang syariah dan menubuhkan task force bagi menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual dalam negara ini sebagai satu usaha dakwah yang sangat wajar disokong dan didukung oleh seluruh rakyat Malaysia.

Tentu sahaja dakwah tidak sekadar menyeru atau mengajak ke arah mentaati perintah Allah SWT. serta mematuhi syariat Nabi Muhammad SAW. secara lisan semata-mata.

Bahkan perlaksanaan undang-undang yang menepati syariat serta pembentukan jawatankuasa bertindak (task force) bagi mendidik dan membimbing masyarakat agar menjalani kehidupan patuh syariat serta mencegah aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transeksual d alam kalangan umat Islam sebagaimana yang dipertegaskan oleh YB Ustaz Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) juga adalah satu usaha dakwah besar negara.

- Advertisement -

Dakwah ini adalah untuk membina sebuah masyarakat yang soleh dan bermoral sekali gus membentuk sebuah negara yang sejahtera dari keruntuhan akhlak dan peradaban. Kemudiannya, mengundang rahmat dan keampunan Allah SWT menepati piawaian baldatun tayyibah wa rabbun ghafur.

Penularan budaya yang menyongsang fitrah dan normalisasi aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transeksual dalam negara kita mutaakhir ini kian membarah. Ia wajar ditangani dengan serius dan penuh hikmah.

Fenomena ini turut mencemar budaya, meruntuh institusi kekeluargaan dan merosakkan nilai keperibadian individu, khasnya bagi mereka yang beragama Islam.

Pelaksanaan ‘hidup mematuhi aturan agama’ tidak boleh berpada hanya dengan seruan khatib di mimbar, alim ulamak di majlis ilmu dan para intelektual Islam di bilik kuliah universiti semata-mata. Malah perlu kepada penguatkuasaan undang-undang untuk membendung agenda pihak tertentu yang mahu meruntuhkan peradaban negara.

Benar apa yang disebut oleh Al Imam Ghazali rhm:

الدِّيْنُ أُسٌّ وَالسُّلطانُ حَارِسٌ، فَمَا لا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَ مَا لا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ

“Agama ialah tapak, pemerintah adalah pengawal. Suatu yang tiada tapak baginya maka ia pasti runtuh sementara suatu yang tiada pengawal pula pasti hilang.”

YADIM tidak sekadar menyokong hasrat murni kerajaan tersebut, tetapi bersedia untuk menjadi satu agensi yang berperanan bagi membantu usaha dakwah ke arah menyelamatkan mereka yang terjebak dalam kancah lesbian, gay, biseksual dan transeksual serta meluruskan pemikiran masyarakat agar tidak terpengaruh dengan agenda normalisasi aktiviti mungkar tersebut.

Sebelumnya, YADIM juga telah mengadakan wacana bersama MACSA yang dipengerusikan oleh Tuan Lukman Sherif dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar untuk mencari langkah terbaik menangani isu ini termasuklah menerima maklum balas dari para intelek pelbagai agama seperti Kristian, Budha dan Hindu. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -