Simpati ibu terdesak mencuri kerana anak kelaparan

Dr Rosni Adam
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKPP), Dr Rosni Adam meluahkan rasa simpati terhadap seorang wanita yang juga ibu tular ditahan pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya kerana mencuri barangan dan ubat-ubatan.

- Advertisement -

Barangan yang diambil ibu berkenaan berupa kool fever, kek dan sosej. Ibu kepada tiga orang anak yang masih kecil itu terdesak bertindak sedemikian kerana anak-anaknya kelaparan dan salah seorangnya demam.

Beliau berkata, perkara itu berlaku disebabkan wanita itu gagal untuk akses atau menerima informasi mengenai bantuan serta tempat yang boleh untuk beliau terima pelbagai bantuan yang diperlukan dengan baik.

Dr Rosni berkata, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat juga turut menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan di markas-markas dan pejabat PAS.

Di samping itu, beliau menyeru kepada mereka di luar sana yang memerlukan bantuan agar tampil membuat aduan bagi menerima bantuan yang diperlukan.

Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai supaya tingkatkan semangat kejiranan dengan mengambil berat antara satu sama lain untuk menjaga kebajikan bersama agar saling bantu-membantu antara satu sama lain.

“Dari segi hubungan antara adik-beradik, kaum keluarga, perlu lah sentiasa bertanya khabar terutama apabila kita melihat kehidupan mereka kurang bernasib baik dengan anak kecil, hilang pekerjaan, (kena) perlu saling bertanya khabar,” katanya.

Justeru itu, bertepatan dengan konsep negara berkebajikan seperti yang dibawa oleh PAS itu sendiri, kata Dr Rosni semua pihak sama ada kerajaan mahupun rakyat perlu saling memainkan peranan dalam membantu antara satu sama lain.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis di-Raja Malaysia yang prihatin serta bertimbang rasa.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal turun padang bertemu dengan wanita tersebut dengan tolong membayarkan barangan yang gagal dibayar oleh ibu berkenaan serta beberapa barangan keperluan lain untuk disumbangkan kepada wanita terbabit. – HARAKAHDAILY 22/1/2021

- Advertisement -