PAS Masjid Tanah bakal bina kompleks pentadbiran baharu

- Advertisement -

MASJID TANAH: PAS Kawasan Masjid Tanah bakal membina kompleks pentadbiran baharu di tapak markas kawasan sedia ada di Jalan Hujan Panas.

Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah, Jamaruddin Ahmad berkata, sehubungan itu satu jawatankuasa telah dibentuk bagi projek pembinaan kompleks terbabit.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh beliau sendiri di samping Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman pula akan bertindak sebagai Penasihat bagi jawatankuasa ini.

- Advertisement -

“Seramai 15 orang ahli jawatankuasa terlibat dalam projek pembinaan kompleks ini, terdiri daripada beberapa orang AJK PAS Kawasan di samping melibatkan tokoh-tokoh NGO PAS yang akan membantu,” ujar beliau.

Menurut Jamaruddin lagi, kompleks yang melibatkan dua fasa utama ini dijangka menelan kos sekitar RM900,000.

“Untuk fasa pertama kita akan membina tandas baharu, membuat kerja merata tanah dan membuat ‘footing‘ untuk dewan terbuka yang akan dibina bersebelahan bangunan sedia ada dan ‘major renovation‘ untuk bangunan sedia ada.

“Dan fasa kedua ialah pembinaan sebuah dewan terbuka yang berkeluasan 50 kali 100 kaki yang mana dewan ini juga akan menempatkan beberapa gelanggang permainan yang bersesuaian.

“Kita menyasarkan untuk memulakan kerja pembinaan pada 1 April, bergantung kepada dana yang kita dapat kutip sumbangan daripada pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS.

“Kita akan memulakan dengan pembinaan tandas baharu yang terdiri daripada tiga tandas lelaki, tiga tandas wanita, satu tandas OKU dan satu tandas VVIP.

“Selepas siap barulah kita akan teruskan dengan ‘renovation‘ bangunan markas sedia ada sekarang ini yang mana ia melibatkan penambahbaikan struktur asal dengan menggantikan ‘beam‘ dan kerangka bumbung lama dengan kerangka logam,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, renovasi bangunan asal itu juga akan melibatkan kerja meluaskan ruangan dewan, membuang tiang tengah dewan, menggantikan tingkap sedia ada dengan tingkap ‘sliding‘, pendawaian elektrik baharu dan memasang penghawa dingin.

“Kita harap apabila dewan ini dapat diluaskan dan dipasangkan dengan penghawa dingin maka ia memberi keselesaan apabila kita melakukan program di sini.

“Sebenarnya banyak program-program seperti konvokesyen PASTI sebelum ini yang terpaksa menyewa dewan luar dengan kos yang tinggi.

“Dengan adanya dewan baharu yang lebih selesa ini diharapkan dapat mengurangkan kos yang selama ini ditanggung oleh PAS dan agensi-agensi lain bawah PAS kawasan seperti PASTI dan sebagainya,” tambah beliau lagi.

Menurut Jamaruddin, pihak PAS Kawasan Masjid Tanah menyasarkan fasa pertama yang akan memulakan pembinaan pada 1 April tahun ini dan dijangka siap pada 31 Mac tahun hadapan sementara fasa kedua iaitu pembinaan dewan terbuka pula akan dimulakan pada 1 April tahun hadapan.

Namun menurut Jamaruddin, ia bergantung sepenuhnya kepada kutipan dana yang akan dilancarkan dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily selepas selesai mempengerusikan mesyuarat pertama bagi menyelaraskan projek ini yang berlangsung di Ismah Beach Resort Tanjung Bidara, di sini, pagi semalam. – HARAKAHDAILY 10/1/2021

- Advertisement -