Keperluan program pendidikan dan pembangunan belia tani

- Advertisement -

SEKTOR pertanian telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka dengan sumbangan kepada KDNK negara sebanyak (46.0 peratus) pada tahun 1957. Sektor pertanian terus berkembang menyumbang kepada negara daripada tahun demi tahun dan pada tahun 2018 sektor pertanian telah menyumbang RM99.5 bilion kepada KDNK pada 2018.

Kajian pada 2019 menunjukkan sayur-sayuran dan buah-buahan adalah penyumbang terbesar kepada defisit perdagangan iaitu RM6 bilion, diikuti bijirin, daging, gula dan madu, masing-masing sebanyak RM5.0 bilion, RM2.9 bilion dan RM2.5 bilion.

Dalam menghadapi krisis pandemik yang terus meruncing dan mengugat ekonomi dunia di samping peluang pekerjaan terus menjadi isu utama negara. Satu peluang yang perlu dibuka oleh kerajaan kepada belia di luar sana adalah mengisi dan merancangkan sektor pertanian.

- Advertisement -

Golongan belia dikategorikan sebagai aset bernilai negara kerana mereka adalah pewaris yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan negara dan merupakan sumber tenaga kerja yang terpenting. Sumber tenaga yang menjadi tonggak negara ini, mestilah dibangunkan dan digemblengkan menjadi rakan pembangunan sumber tenaga yang berkualiti dan produktif. 

Walaupun liberalisasi ekonomi dan dasar penswastaan telah dikatakan sebagai penggerak kepada pertumbuhan ekonomi yang dicapai sekarang, namun seandainya belia kita tidak mampu untuk menerus dan mengekalkan kejayaan yang sedang dicapai dan seterusnya mencipta kemajuan di masa akan datang, pertumbuhan ekonomi sudah tentu akan terencat.

Kerajaan Malaysia melalui program pembangunannya tidak pernah terlupa untuk merangka agenda mengenai pendidikan belia ke arah pertanian di dalam setiap dasar dan tindakan yang dirancangnya. Peluang-peluang untuk menceburi pertanian sentiasa dibuka kepada mereka dan sokongan dari berbagai aspek sentiasa diberikan untuk memastikan kejayaan karier belia-belia ini di dalam pertanian yang mereka ceburi. 

Belia tani merupakan satu konsep yang menggalakkan belia untuk terjun dalam bidang pertanian. Belia tani yang berkeupayaan memenuhi harapan negara masa hadapan adalah belia tani yang cemerlang dan berterusan mengorak langkah untuk menjadi seorang petani nukleus. 

Mereka bertanggungjawab menerajui pengurusan pertanian dan menjadi penyumbang kepada keaktifan pertanian kawasan tempat tinggal mereka. Belia tani seperti inilah yang diharapkan menjadi pelapis pertanian bagi menggantikan generasi petani yang semakin tua dimamah usia. Mereka semestinya mengikut perubahan dan kemajuan dunia hari ini yang menimbulkan berbagai isu dan perkara yang memberi kesan kepada pembangunan belia tani Malaysia. 

Sememangnya kita mengetahui bahawa penglibatan belia di dalam sektor pertanian semakin berkurang. Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, perancangan program yang rapi dan mantap untuk melibatkan belia di dalam pertanian perlu dirangka. Antara program yang boleh diusahakan oleh pihak kerajaan adalah program berunsur pendidikan dan pembangunan belia tani.

Program pembangunan seperti tunjuk ajar dan latihan kepada belia melalui aktiviti harian oleh pihak agensi kerajaan. Kemahiran yang sebenar perlu disalurkan kepada supaya belia dapat mempraktikkan teknik sebenar dalam mengusahakan pertanian. Kursus-kursus insentif dan turun padang ke tapak pertanian belia perlu digiatkan dalam usaha membimbing belia dalam sektor pertanian ini.

Menuju era Industry 4.0, kemajuan teknologi perlu seiring dalam membangunkan pertanian di Malaysia. Belia yang rata-rata merupakan ‘Digital Native’ pastinya sudah biasa dengan arus teknologi semasa. Pihak Kerajaan mencari inisiatif dalam memajukan pertanian dengan membawa masuk unsur teknologi bukan hanya memasarkan hasil pertanian tetapi digunakan untuk memperbanyakkan hasil atau produk pertanian.

Dengan bimbingan yang mencukupi dan kemudahan teknologi yang mampan, pastinya usaha menggalakkan belia meneroka sektor pertanian akan berhasil. Hal ini sejajar dengan strategi yang cuba dipacu pada Rancangan Malaysia ke-12 iaitu bagi meluaskan Dasar Agro Makanan 2021-2030 dan Pelan Induk Perindustrian keempat 2021-2030.

USTAZ HAFEZ SABRI
Pengarah STRATCOM Negeri Perak – HARAKAHDAILY 10/1/2021

- Advertisement -