PAS Melaka hantar misi bantuan banjir Johor

- Advertisement -

KOTA MELAKA: PAS Melaka melalui NGO Khidmat Malaysia (KM) Melaka telah menghantar misi pertama seramai 20 orang sukarelawan bagi membantu mereka yang pada ketika ini sedang dilanda musibah banjir di kawasan Mersing, Johor Darul Takzim.

Pasukan pertama ini yang dipimpin oleh Ketua Unit Semboyan dan Komunikasi, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Melaka, Omar Muallim dijangka akan berada di Mersing selama tiga hari bagi berkhidmat di kawasan yang terlibat dengan banjir ini.

- Advertisement -

Pasukan ini telah bertolak dengan kelengkapan pembersihan dan barangan sumbangan seperti barangan makanan, lampin pakai buang bayi, tuala wanita dan selimut.

Majlis pelepasan kontinjen pertama flag off yang disertai oleh sukarelawan JAM Negeri Melaka yang bernaung di bawah KM ini disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek di Pejabat PAS Melaka Semabok, di sini, malam semalam.

Ustaz Kamarudin dalam ucapan ringkasnya dalam majlis pelepasan itu berkata misi ini dilakukan atas dasar prihatin dan sebagai usaha PAS Melaka untuk membantu setakat termampu dan menyantuni golongan terjejas.

“Diharapkan segala bentuk bantuan yang disampaikan mudah-mudahan dapat meringankan bebanan mereka walaupun bukan secara keseluruhan.

“Saya nak pesan pada sukarelawan, walaupun sedang bertugas berdepan dengan musibah banjir, mana-mana petugas misi bantuan perlu menjaga SOP ditetapkan pihak berkuasa, bagi mengelak berlakunya penularan baharu wabak Covid-19.

“Didoakan semoga perjalanan kontinjen misi bantuan pergi dan balik selamat semuanya,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin memaklumkan, seramai 3,000 anggota JAM dari seluruh negara akan dikerahkan untuk berkhidmat kepada rakyat yang terkesan akibat bencana banjir kali ini.

Jelasnya, antara anggota JAM negeri yang diarahkan untuk bertugas di Johor pada hujung minggu ini adalah dari Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Anggota JAM dari negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak ditugaskan untuk berkhidmat di Pahang,” ujarnya.

Dewan Pemuda PAS Melaka (DPPM) mewakili JAM Melaka memohon orang ramai menghulurkan bantuan kewangan untuk membeli bantuan barangan keperluan kepada keluarga yang sedang terjejas di samping untuk melicinkan pergerakan misi bantuan banjir kali ini.

Bilal berkata, sumbangan itu boleh disalurkan kepada DPPM melalui Tabung Bencana yang dikendalikan oleh Khidmat Malaysia (Melaka) melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (0404-2010-0204-40) atas nama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Melaka.

Hadir bersama dalam majlis pelepasan tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya-3 PAS Melaka, yang juga Pengerusi KM Melaka, Muhamat Puhat Bedol bersama dengan AJK Perhubungan PAS Melaka yang lain, antaranya Ketua Penerangan, Bakri Jamaluddin Pengarah Pilihan Raya, Bahiki Ismail dan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Mohsin Ibrahim. – HARAKAHDAILY 9/1/2021

- Advertisement -