PAS Melaka sedia jadi pendamai – Ustaz Kamarudin

- Advertisement -

ALOR GAJAH: PAS Melaka sedia menjadi pendamai kepada pergeseran antara Umno dan Bersatu kerana ia selari dengan apa yang dihasratkan oleh PAS Pusat, kata Pesuruhjaya PAS Melaka, Dato’ Ustaz Kamarudin Sidek.

- Advertisement -

Menurut beliau, PAS Melaka akan bergerak untuk menenangkan suasana dengan objektif untuk mengelakkan parti-parti Melayu ini daripada hilang kuasa sekali lagi.

Ustaz Kamarudin yang juga merupakan Penasihat Agama Kepada Ketua Menteri Melaka itu berkata lagi, setakat hari ini hubungan antara PAS Melaka dengan Umno dan Bersatu Melaka adalah baik.

“Untuk makluman bahawa kita di Melaka ini, kita telah mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan Umno dan juga Bersatu.

“Setakat ini hubungan kita dengan Bersatu, dengan Umno, kita baik. Cuma kita masih belum dapat membuat perjumpaan dengan ketiga-tiga parti (serentak),” ujar beliau.

Mengulas tentang keputusan Umno terutama di Melaka yang tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan Bersatu, Ustaz Kamarudin berkata ia adalah keputusan sebelah pihak.

“Itu adalah keputusan sebelah pihak daripada pihak Umno dan kita pun tak nak campur tentang keputusan dia sendiri. Pendirian dia.

“Tapi pendirian PAS Melaka, saya mengikut seperti mana yang disyorkan oleh PAS Pusat. Kita lebih ke arah seboleh-bolehnya untuk menyatupadukan orang Melayu

“Dan objektif kita sehingga tidak berlaku pertandingan tiga penjuru. Dan kita tak nak mengulangi kesilapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, itu objektif kita sekarang,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, dengan keputusan Umno untuk tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu ini mungkin akan menyebabkan berlakunya sedikit perubahan dalam pola politik di negara ini.

Menurut Ustaz Kamarudin, PAS Melaka akan mengambil peluang dalam tempoh sebelum berlakunya PRU ke-15 untuk cuba mendamaikan dan mengendurkan ketegangan antara Umno dan Bersatu ini.

“Apa-apa pun saya akan bergantung kepada keputusan mesyuarat PAS Pusat pada hari Sabtu ini. Mungkin kita akan perincikan.

“Kita di peringkat negeri, kita ikut saja apa kehendak PAS Pusat. Tapi rohnya begitulah, kita akan cuba mendekatkan sahaja (pergeseran Umno dan Bersatu) setakat ini,” ujar beliau lagi.

Mengulas tentang kerusi yang mungkin ditandingi oleh PAS Melaka dalam pilihan raya akan datang, Ustaz Kamarudin menjelaskan bahawa soal kerusi akan ditentukan daripada perbincangan antara parti di peringkat pusat.

Namun kata beliau, PAS Melaka menyasarkan lebih daripada tiga kerusi sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen, namun ia tertakluk kepada perbincangan di peringkat pusat.

Ustaz Kamarudin berkata demikian ketika sidang media seusai program penyampaian bantuan Program Jom Ke Sekolah 2021, sumbangan Yayasan Taqwa yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, di Kompleks Japerun Dun Durian Tunggal, di sini, Khamis lepas.

Dalam program ini Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Yayasan Taqwa, telah menyampaikan bantuan kepada seramai 300 orang pelajar daripada kumpulan B40 dari Melaka yang menerima bantuan peralatan dan pakaian sekolah bernilai RM170 setiap seorang dengan peruntukan lebih RM50 ribu.

Turut hadir di dalam program ini ialah Timbalan Pesuruhjaya (TPJ) I PAS Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail; TPJ II, Ustaz Imran Abdul Rahman; TPJ III, Muhamat Puhat Bedol; Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaludin; Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Melaka, Mohsin Ibrahim; pimpinan PAS Perhubungan Melaka dan pimpinan Parti Bersatu dan Umno tempatan. – HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -