PTPTN lanjutkan penangguhan bayaran balik

Foto FB PTPTN
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman (Covid-19) kepada mereka yang layak selama tiga bulan lagi.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata peminjam perlu mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/PelanjutanBayaranBalikCovid-19 bermula 5 Januari sehingga 31 Mac ini.

- Advertisement -

Katanya, tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan dibuat.

“Peminjam yang layak adalah peminjam yang kehilangan pendapatan (diberhentikan pekerjaan) dan yang terjejas pendapatan (pendapatan berkurangan).

“Pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk tempoh tiga bulan akan bermula pada bulan yang sama dengan kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan di antara Januari hingga Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mail yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja dan tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

Berikutan itu, katanya, peminjam diingatkan agar mengemaskini maklumat perhubungan yang terkini bagi memastikan maklumat berkenaan kelulusan permohonan pelanjutan disampaikan kepada mereka.

Bagaimanapun, Ahmad Dasuki berkata mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran yang disediakan.

“PTPTN mengucapkan terima kasih serta merakamkan penghargaan kepada semua peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman demi kelangsungan pembiayaan PTPTN kepada pelajar lain pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, tempoh pelanjutan penangguhan bayaran balik ini menunjukkaan kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi peminjam.

“Diharapkan inisiatif ini dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh peminjam yang terkesan akibat pandemik yang melanda,” katanya lagi.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui talian 03-21933000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 hingga 5 petang atau layari portal rasmi www.ptptn.gov.my. – HARAKAHDAILY 4/1/2021

- Advertisement -