Tanggungjawab pemimpin satukan Melayu, Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU : PAS Kelantan akan terus berunding dengan Umno dan Bersatu bagi memastikan hanya berlaku pertembungan dua penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) dapat direalisasikan.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti terbabit mempunyai kaedah bagi mencari titik persamaan pada peringkat akar umbi.

- Advertisement -

Menurutnya, PAS Kelantan tidak terguris dengan kenyataan Umno bahagian yang menolak kerjasama dengan Bersatu, yang merupakan kompenan parti Perikatan Nasional (PN) khususnya bagi menghadapi PRU 15.

“Saya yakin pimpinan tertinggi PAS tidak melayan atau pun terikut-ikut dengan kenyataan seperti itu sebab kita yakin pimpinan yang bertanggungjawab akan memastikan dapat menyatukan Melayu dan Islam.

“Saya juga percaya ini tidak menjejaskan hubungan dengan Umno dan akan terus mengadakan rundingan dan kerjasama supaya rakyat kita bersatu dan yang pastinya kena tolak DAP dan Anwar Ibrahim pada PRU akan datang,” katanya.

Perwakilan Umno Kubang Kerian sebelum ini membuat ketetapan menolak kerjasama dengan Bersatu dan PN, malah mendesak kepimpinan mengkaji semula kerjasama bersama PAS.

Che Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani II menjelaskan, keputusan tersebut hanya di peringkat Umno Bahagian terbabit sahaja, bahkan yakin ia bukan pandangan pimpinan tertinggi Umno.

Malah Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa semalam menegaskan keputusan pimpinan tertinggi Umno bagi menyokong kepimpinan kerajaan PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Che Abdullah juga berkata pihaknya akan mengadakan rundingan dan perbincangan dengan Umno dalam masa terdekat bagi memastikan kerjasama dan hubungan baik dengan parti itu dapat diteruskan tanpa salah faham.

Selain itu penjelasan kepada ahli parti di peringkat akar umbi akan dijalankan walaupun sebelum ini wujud sekatan akibat penularan Covid-19. – HARAKAHDAILY 3/1/2021

- Advertisement -